Pahang salur RM4.49 juta kepada 6,290 penerima Tabung Malapetaka Daerah

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Pahang menyalurkan lebih RM4.49 juta kepada 6,290 kes penerima bantuan Tabung Malapetaka Daerah (TMD) bermula 2022 hingga Oktober lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu disalurkan melibatkan empat kategori penerima iaitu kes ribut, kebakaran, kematian dan bencana lain termasuk tanah runtuh, ditimpa pokok serta lemas.

Menurutnya, TMD di bawah Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) menyediakan peruntukan RM50,000 setahun kepada setiap daerah.

"Secara khususnya kita menyalurkan wang tersebut kepada tabung ini di setiap daerah secara apungan kepada Pegawai Daerah selaku pengerusi TMD.

"Maknanya berlaku bencana alam, pengerusi tabung boleh gunakan wang ini untuk menyalurkan bantuan segera. Maknanya duit itu sudah ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ho Chi Yang (PH- Tanah Rata ) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, pada 2022, sebanyak 1,170 kes direkodkan dengan perbelanjaan RM534,456, diikuti 845 kes (RM510,186) pada 2023 dan 1,144 kes (RM376,458) pada 2024.

Katanya, pada 2025 sebanyak 2,366 kes dengan perbelanjaan kira-kira RM2.4 juta, manakala 765 kes direkodkan sehingga Oktober tahun ini membabitkan RM642,400.

"Peruntukan ini bertujuan memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat kejadian bencana selain banjir, tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tidak mencukupi, permohonan boleh dikemukakan untuk tambahan," katanya.

Jelas beliau lagi, dalam tempoh 2022 hingga kini, RM5.1 juta telah disalurkan kepada tabung berkenaan.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri bersedia mengkaji cadangan mewujudkan tabung bencana pertanian bagi membantu pekebun dan petani yang ditimpa bencana di negeri ini.

Menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tiada tabung khusus, namun sedia membantu sekiranya ada kemampuan.

"Bagaimanapun kita akan kajilah sebab kemampuan kewangan kita semakin baik. Kalau tidak tabung pun mungkin bantuan sekali bayar kepada golongan petani yang terjejas bencana," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!