GST isyarat BN jauhi PH

Perbezaan pendirian mengenai GST antara BN dan kerajaan pimpinan PH memberi gambaran bahawa BN mungkin memilih untuk bergerak secara solo atau bersama Perikatan Nasional (PN). Gambar hiasan
Perbezaan pendirian mengenai GST antara BN dan kerajaan pimpinan PH memberi gambaran bahawa BN mungkin memilih untuk bergerak secara solo atau bersama Perikatan Nasional (PN). Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Hasrat Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat sebagai petunjuk awal gabungan itu mungkin tidak meneruskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, perbezaan pendirian mengenai GST antara BN dan kerajaan pimpinan PH memberi gambaran bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mungkin memilih untuk bergerak secara solo atau bersama Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, komitmen itu menunjukkan BN mahu menjadikan GST antara tawaran ekonomi menjelang PRU16.

“Mengembalikan GST memperlihatkan kesungguhan BN untuk menyambung legasi yang pernah diperkenalkan ‘Bossku’ (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Secara umumnya, saya tidak melihat bahawa rakyat menerima cadangan tersebut dengan penuh skeptikal.

“Apa jua bentuk sistem percukaian tetap mendatangkan implikasi ke atas mana-mana individu atau kumpulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas janji Ahmad Zahid ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA pada Ahad untuk mengembalikan GST jika BN kembali menerajui Putrajaya selepas PRU16.

Ahmad Zahid menyifatkan GST lebih adil dan bersasar berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta menggesa MCA terus memperjuangkannya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 November lalu menegaskan kerajaan belum bercadang mengembalikan GST kerana dikhuatiri membebankan golongan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

Menurut Anwar, GST hanya wajar dipertimbangkan apabila pendapatan minimum rakyat mencapai sekurang-kurangnya RM4,000.

Ariff Aizuddin tidak melihat cadangan BN itu menjadi senjata makan tuan pada PRU16 kerana GST pernah menyumbang hasil besar kepada negara, namun menegaskan pelaksanaannya mesti telus supaya hasil kutipan dimanfaatkan rakyat.

Mengenai kemungkinan kerjasama BN dan Pas, beliau berkata, Pas perlu bersikap terbuka walaupun pernah menentang GST pada 2015, termasuk apabila seorang pemimpin kanannya menyifatkan cukai itu haram kerana isu ketirisan, rasuah dan beban rakyat.

Menurutnya, perbezaan pendirian tidak semestinya menghalang kerjasama kerana percaturan politik boleh berubah.

“Pas perlulah berkompromi dan bersikap terbuka dalam usaha untuk mengolah satu persefahaman dasar yang konkrit serta substantif antara parti dengan BN.

“Jika BN bertegas untuk mengembalikan semula GST, maka BN disaran mengadakan satu sesi mesyuarat umum untuk mempersembahkan ‘logik ekonomi’ mereka berserta justifikasi sesuai,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid pada 15 November lalu menjelaskan BN belum merancang kerjasama rasmi dengan PN menjelang PRU16, namun terbuka untuk berbincang jika perlu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!