Ahmad Zahid dijangka menghadap Tuanku Muhriz Khamis ini

SEREMBAN - Tiga pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini, Khamis ini.
Menurut sumber, tiga pemimpin berkenaan ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
"Tujuan menghadap itu adalah untuk mengemukakan keputusan parti yang dicapai dalam mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.
"Setakat yang dimaklumkan, Tuanku Muhriz berkenan menerima mereka menghadap pada tarikh tersebut, namun tidak diketahui sama ada ia akan dibatalkan pada saat akhir," katanya.
Sumber itu berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) BN juga telah diarahkan parti supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut yang sedang berlaku bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.
Bagaimanapun, katanya, parti berkenaan sedang berusaha menyelesaikan krisis itu, termasuklah berkaitan Menteri Besar.
Jumaat lalu, seramai 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan dalam menentukan penyelesaian kemelut politik berkenaan
Keputusan itu dibuat selepas sesi perjumpaan khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan yang mesyuaratnya dipengerusikan oleh Mohamad.
Ia susulan pendedahan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang memaklumkan bahawa beliau tidak pernah memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya bertarikh 16 November lalu diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
ADUN Juasseh itu turut menegaskan bahawa beliau hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan yang diumumkan pimpinan BN menerusi laporan media.
Namun, sejak sidang media berkenaan, Ismail tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, termasuk memberikan respons terhadap kenyataan Istana Negeri Sembilan yang memintanya membuktikan mendapat sokongan majoriti ADUN.
Bagaimanapun pada Ahad lalu,Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa memaklumkan Ismail sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini, namun keadaan beliau semakin pulih.
Setakat jam 3 petang ini, media masih menunggu maklum balas terkini berkenaan keadaan Ismail termasuk sama ada beliau telah dibenarkan pulang atau sebaliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

