Laporan polis peletakan jawatan MB Negeri Sembilan: 'Tiada maklumat lagi' - Saifuddin

Saifuddin ketika ditemui selepas program PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka pada Ahad.
Saifuddin ketika ditemui selepas program PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Saya tak ada maklumat lagi.”

Itu reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika diminta mengulas laporan polis berhubung isu surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Beliau berkata demikian secara ringkas ketika ditemui selepas menghadiri program PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan yang dibuat seorang pesara lelaki berusia 65 tahun di Balai Polis Chow Kit, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 9.55 pagi.

Menurutnya, pengadu memohon supaya siasatan dijalankan berdasarkan laporan media dan kenyataan yang dirujuk berhubung isu berkenaan.

Pengadu turut meminta polis meneliti kemungkinan wujud kaitan antara isu itu dengan dakwaan konspirasi terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Terdahulu, Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) menggesa polis menyiasat dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, selain kemungkinan wujud pakatan yang menyentuh institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, laporan polis itu dibuat susulan beberapa laporan media dan kenyataan individu tertentu yang menimbulkan persoalan mengenai pihak yang menyediakan, mengarahkan serta menyerahkan surat peletakan jawatan berkenaan kepada pihak istana.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!