1,745 anggota polis, 55 bot siap sedia hadapi banjir Kelantan

Mohd Yusoff (tengah) menyampaikan sijil kenaikan pangkat kepada pegawai terlibat pada Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di Kota Bharu pada Selasa.
Mohd Yusoff (tengah) menyampaikan sijil kenaikan pangkat kepada pegawai terlibat pada Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU – Seramai 1,745 anggota polis Kelantan bersama 55 bot sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang berisiko membawa hujan lebat di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, Op Banjir Kontinjen Kelantan kini berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan tindakan segera dapat dilakukan sekiranya berlaku bencana.

Menurut beliau, kekuatan anggota yang digerakkan itu membabitkan 249 pegawai kanan dan 1,496 pegawai rendah polis.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 557 anggota ditempatkan dalam 80 pasukan penyelamat, manakala 352 anggota lagi bertugas di bilik gerakan banjir di semua daerah.

"Baki 836 anggota pula berada dalam tugas siap siaga," katanya semasa sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, selain 55 bot pihaknya turut menyediakan kemudahan logistik, pengangkutan dan perhubungan bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan lancar.

Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya mempunyai pengalaman menghadapi bencana banjir yang berlaku hampir setiap tahun di Kelantan, sekali gus membolehkan persediaan dilakukan lebih awal.

Katanya, bilik gerakan banjir bagaimanapun masih belum dibuka kerana keadaan semasa belum memerlukan pengaktifan operasi berkenaan.

"Kita sudah membuat persediaan awal dan berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi banjir berdasarkan pengalaman yang dilalui sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengingatkan semua pasukan supaya memberi keutamaan kepada golongan rentan termasuk warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) ketika proses pemindahan mangsa.

Beliau turut menegaskan maklumat berkaitan penutupan jalan dan lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) perlu disampaikan dengan pantas serta tepat menerusi saluran rasmi.

"Ketika masyarakat berdepan musibah, kehadiran kita amat diperlukan. Laksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab kerana keutamaan kita adalah memastikan keselamatan dan nyawa setiap mangsa terus terpelihara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!