Himpunan Huffaz 26K angkat agenda TVET-Tahfiz

SHAH ALAM – Himpunan Huffaz 26K 2026 yang dijadualkan berlangsung di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, Perak pada 27 November ini bakal menjadi platform memperkukuh peranan golongan huffaz sebagai pemacu peradaban dan pembangunan modal insan negara.
Himpunan bertemakan 'Huffaz Memacu Peradaban' itu diterajui Pejabat Timbalan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), PERMATA Al-Quran, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pahang, Sekretariat Majlis TVET Negara serta agensi berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menghadiri himpunan yang bakal menghimpunkan huffaz, mudir, asatizah, tenaga pengajar serta wakil institusi tahfiz dari seluruh negara.
Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, penganjuran program itu bertujuan melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai ilmu al-Quran, malah cemerlang dalam bidang akademik, kemahiran profesional, teknologi dan kepimpinan.
"Sebanyak 27 institusi tahfiz yang melepasi penilaian kualiti Jakim dijangka menerima pengiktirafan, manakala 20 panel penilai Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) akan diberikan sijil penghargaan.
"Selain itu, anugerah khas turut akan disampaikan kepada 10 institusi tahfiz terbaik berdasarkan pencapaian dan penilaian kualiti SPTM,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Pelbagai aktiviti termasuk pameran artifak, reruai agensi dan program pendidikan al-Quran akan bermula pada 26 November sebelum acara kemuncak himpunan berlangsung pada keesokan harinya.
Penganjuran Himpunan Huffaz 26K 2026 diharap dapat memperkukuh ekosistem pendidikan tahfiz negara melalui jaringan kerjasama antara institusi agama, akademik dan latihan kemahiran.
Inisiatif itu juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada generasi huffaz untuk mengembangkan potensi serta mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Menurut kenyataan sama, pengiktirafan itu merupakan kesinambungan komitmen Ahmad Zahid yang mengumumkan insentif berjumlah RM500,000 pada penganjuran tahun lalu, membabitkan peruntukan RM50,000 kepada setiap institusi terpilih.
"Himpunan ini turut memberi penekanan kepada agenda Huffaz Profesional dan integrasi TVET-Tahfiz menerusi kerjasama pelbagai agensi pendidikan serta latihan kemahiran.
“Bagi tempoh 2023 hingga 2025, seramai 2,364 pelajar tahfiz telah mendaftar dalam program latihan kemahiran di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Antara pengisian disediakan termasuk Eksplorasi TVET-Tahfiz, Klinik al-Quran Interaktif, tadabbur al-Quran, tahsin al-qiraat, perkongsian amalan terbaik institusi tahfiz serta pameran artifak Rasulullah SAW dan para sahabat,” tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
