PPIM nafi terima sogokan duit tutup aduan

Nadzim (tengah) menafikan pihaknya menerima wang sogokan daripada sebuah syarikat gergasi makanan segera untuk menutup aduan berhubung isu diskriminasi francais.
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan menerima wang sogokan daripada sebuah syarikat gergasi makanan segera untuk menutup aduan berhubung dakwaan diskriminasi francais yang melanggari Akta Francais 1998.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada seorang pemilik francais syarikat terbabit pada Julai tahun lalu.

Menurutnya, namun ada seorang blogger mengaitkan isu tersebut dengan PPIM dan menerusi videonya mengatakan pihaknya gagal untuk membuat tindakan seolah-olah diberi sogokan.

"Saya tegaskan, kita tidak ada ambil duit. Bagi kita itu tidak memberi apa-apa kebaikan.

"PPIM tidak pernah, tidak akan dan tidak mungkin akan ambil wang tersebut. Bila pengadu datang jumpa kita, kita ambil aduan itu dan telah berjumpa dengan pihak syarikat makanan segera itu dan kes ini masih dalam proses di mahkamah," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Nadzim berkata, ini adalah isu besar dan memerlukan tindakan pihak kementerian untuk menyiasat.

Katanya, kementerian perlu ambil perhatian dan lihat apa kelemahan dengan apa yang berlaku kerana masa kini banyak isu berkaitan francais dilaporkan.

"Kita akan cuba bantu sebaiknya dan saya nafikan kita ada terima wang sogokan seperti didakwa," katanya.

Ketika ditanya berkenaan blogger terbabit yang bertanggungjawab menyebar dakwaan tersebut, Nadzim berkata, surat peguam akan diserahkan kepada blogger itu dalam masa terdekat untuk dia tarik semula tuduhan tersebut.

"Jika enggan, tindakan saman akan dibuat," katanya.

Terdahulu, tular sebuah video di laman sosial Facebook tentang kesalahan dilakukan syarikat makanan segera tersebut dan pemilik video itu telah mengaitkan PPIM menerima wang sogokan untuk menutup aduan yang diterima.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia