Eisenkot kecam keganasan peneroka Israel

Beberapa kenderaan milik rakyat Palestin hangus dibakar oleh peneroka haram Yahudi di Ramallah. - Agensi
Beberapa kenderaan milik rakyat Palestin hangus dibakar oleh peneroka haram Yahudi di Ramallah. - Agensi
A
A
A

RAMALLAH – Serangan pembakaran rumah dan kenderaan milik penduduk Palestin oleh sekumpulan peneroka Israel ekstremis di Tebing Barat mencetuskan kecaman pemimpin pembangkang negara itu yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai keganasan Yahudi.

Gadi Eisenkot yang sedang berusaha membentuk kerajaan baharu Israel berkata, serangan pada awal pagi Ahad itu membahayakan nyawa penduduk, menjejaskan kestabilan rantau berkenaan serta mencemarkan keselamatan dan hubungan luar negara itu.

Beliau turut menyalahkan dasar kerajaan Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu yang menurutnya menyebabkan wilayah berkenaan semakin menghampiri keadaan tidak terkawal.

"Serangan pembakaran malam tadi di Judea dan Samaria adalah tindakan keganasan Yahudi dalam setiap pengertian istilah itu," katanya dalam satu kenyataan, menggunakan nama biblical bagi merujuk Tebing Barat.

Eisenkot turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan pelampau yang terlibat, termasuk menangkap mereka dan mengenakan hukuman sewajarnya.

Serangan berkenaan dilaporkan berlaku di beberapa perkampungan Palestin termasuk Deir as-Sudan, Deir Abu Mashal, Kafr Malik dan At-Tuwani berhampiran Ramallah.

Penduduk berkata, sekumpulan peneroka membakar kenderaan serta sebuah struktur pertanian sebelum menyembur grafiti berunsur perkauman pada dinding bangunan.

Antara tulisan yang ditemui termasuk perkataan 'Dendam' dan mesej berunsur ancaman terhadap penduduk Arab.

Reuters yang berada di lokasi turut melihat beberapa kenderaan hangus terbakar serta tulisan pada dinding bangunan.

Artikel Berkaitan:

Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini dan belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Polis Israel mengesahkan siasatan dibuka bagi mengenal pasti pihak yang melakukan pembakaran dan vandalisme itu.

Tentera Israel pula berkata anggota keselamatan telah dihantar ke beberapa kawasan terjejas selepas menerima laporan serta meneliti rakaman kejadian.

Eisenkot mendakwa dasar Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang menyokong perluasan penempatan Israel di Tebing Barat menyumbang kepada peningkatan ketegangan.

Beliau berkata, tindakan kumpulan pelampau yang membakar kenderaan dan rumah bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk Palestin, malah menjejaskan keselamatan nasional Israel. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!