Keganasan di Tebing Barat: Israel berkas 10 pelampau Yahudi

TEL AVIV – Polis Israel pada Isnin mengesahkan penahanan 10 suspek yang disyaki terlibat dalam insiden keganasan di Tebing Barat pada akhir minggu lalu termasuk serangan terhadap seorang wartawan foto warga Amerika Syarikat (AS) dan diplomat Eropah.
Langkah itu dibuat susulan desakan sekutu kuatnya, Washington yang mengecam serangan ganas pelampau Yahudi hingga mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan kemarahan komuniti antarabangsa.
Perancis, Belgium dan Poland juga menggesa Israel supaya mengambil tindakan terhadap pelaku yang bertanggungjawab menyerang diplomat mereka yang berkunjung ke wilayah itu.
Kesemua suspek merupakan warga Israel yang identiti mereka tidak didedahkan kini disoal siasat berhubung beberapa dakwaan termasuk terbabit dalam keganasan, melanggar perintah penutupan zon ketenteraan dan melakukan pembinaan haram.
Serangan ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat turut meningkat pada musim menuai buah zaitun selepas kebanyakan tanaman dimusnahkan puak ekstremis tersebut.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu enggan bertindak tegas terhadap golongan itu kerana bimbang kehilangan undi sokongan mereka menjelang Pilihan Raya Umum pada 27 Oktober ini. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

