IOI Properties catat hasil RM4.44 bilion, keuntungan bersih RM2.15 bilion

IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatatkan peningkatan hasil tahunan lebih dua kali ganda kepada RM4.44 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), berbanding RM2.2 bilion pada 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, keuntungan bersih kumpulan itu turut meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM2.15 bilion berbanding RM661.3 juta dalam tempoh sama.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan ketahanan strategi perniagaan kumpulan berkenaan serta keberkesanan usaha mempelbagaikan sumber pendapatan melalui pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan sektor hospitaliti.
Beliau berkata, IOIPG kini memberi tumpuan kepada strategi membangunkan dua sumber utama pendapatan menerusi perniagaan pembangunan hartanah serta portfolio hartanah pelaburan yang mampu menjana pendapatan berulang secara konsisten.
“Pada FY2026, segmen Pelaburan Hartanah serta Hospitaliti dan Rekreasi menyumbang sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan hasil kumpulan.
“Ini membuktikan kejayaan usaha membangunkan sumber pendapatan yang lebih seimbang, bukan hanya bergantung kepada jualan hartanah, tetapi turut disokong pendapatan berulang daripada pusat beli-belah, pejabat dan hotel,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Lee berkata, nilai portfolio aset pelaburan dan hospitaliti kumpulan itu berkembang daripada peranan sokongan pada FY2019 kepada lebih RM37 bilion pada FY2026, merangkumi Malaysia, Singapura dan China.
Mengulas perkembangan perniagaan di Singapura, beliau berkata, langkah memperluaskan pelaburan ke negara itu dibuat secara terancang berdasarkan potensi pulangan sewaan yang lebih tinggi.
Menurutnya, Singapura mempunyai kedudukan strategik sebagai pusat kewangan antarabangsa selain menjadi destinasi pilihan pejabat keluarga (family offices), sekali gus menawarkan peluang pertumbuhan kepada kumpulan itu.
Beliau berkata, permintaan terhadap ruang pejabat premium Gred A yang dilengkapi pensijilan hijau, khususnya di kawasan pusat perniagaan, turut membuka peluang untuk memperoleh kadar sewaan lebih tinggi.
Antara aset utama kumpulan itu di Singapura ialah IOI Central Boulevard Towers, South Beach dan Asia Square Tower 2.
“Ketiga-tiga aset milik penuh kumpulan itu dijangka menjana pendapatan sewa kasar tahunan antara RM1.15 bilion hingga RM1.32 bilion mulai tahun kewangan 2027,” katanya.
Tambah beliau, kadar sewaan di aset berkenaan mencecah antara RM46 hingga RM57 sekaki persegi sebulan, kira-kira empat hingga lima kali ganda berbanding kadar sewaan di lokasi hartanah terbaik di Malaysia, khususnya kawasan KLCC.
Dalam pada itu, Lee berkata, kumpulan berkenaan turut melaksanakan langkah mengoptimumkan penggunaan modal menerusi penjualan tanah bukan teras yang kurang memberi pulangan.
Katanya, IOIPG telah merealisasikan nilai antara RM1.2 bilion hingga RM1.36 bilion menerusi pelupusan tanah bukan teras.
Pada masa sama, pembangunan teras kumpulan di Malaysia mencatatkan jumlah jualan hartanah RM3.91 bilion bagi FY2026, manakala jualan belum dibilkan mencapai paras tertinggi sebanyak RM2.51 bilion.
Beliau berkata, penyenaraian IOIPG Malaysia REIT yang dijadualkan pada 25 November 2026 dijangka mengumpulkan dana RM2 bilion bagi mengurangkan hutang kumpulan.
Selain itu, dana hartanah swasta di Singapura yang disokong aset IOI Central Boulevard Towers dan South Beach berpotensi membuka nilai kira-kira RM10 bilion menerusi cadangan penjualan 50 peratus pegangan.
Menurutnya, langkah mengitar semula modal itu berpotensi mengurangkan nisbah gearing bersih kumpulan kepada sasaran jangka sederhana antara 0.30 hingga 0.50 kali, selain mengekalkan pendapatan daripada yuran pengurusan aset.
Menyentuh kedudukan kewangan kumpulan, Lee berkata, peningkatan pendapatan operasi sebelum modal kerja sebanyak 76 peratus kepada RM1.9 bilion pada FY2026 turut meningkatkan nisbah liputan faedah tunai daripada 1.26 kali kepada 2.69 kali.
Beliau menjelaskan, nisbah gearing bersih perlu dilihat bersama nilai pasaran sebenar aset dan tanah milik kumpulan, memandangkan pengiraan perakaunan lazimnya menggunakan nilai buku ekuiti dan bukannya nilai pasaran semasa.
Sebagai contoh, penjualan tanah seluas 136 ekar di Banting kepada Bridge Data Centre pada harga RM740.68 juta menghasilkan keuntungan operasi hampir 60 peratus, jauh lebih tinggi berbanding nilai yang direkodkan dalam buku akaun.
Katanya, IOIPG mempunyai bank tanah seluas 4,700 ekar yang direkodkan berdasarkan kos sejarah dan sekiranya dinilai mengikut harga pasaran semasa, nilai asas ekuiti kumpulan berpotensi meningkat dengan ketara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, keluarga Lee melalui Vertical Capacity Sdn Bhd dan pegangan langsung memiliki hampir 70 peratus kepentingan dalam IOIPG.
Menurutnya, komitmen terhadap pemegang saham turut dibuktikan menerusi keputusan lembaga pengarah menggandakan pembayaran dividen daripada lapan sen pada FY2025 kepada 16 sen pada FY2026.
Beliau berkata, IOIPG akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan modal secara berdisiplin, meningkatkan nilai aset serta membina institusi hartanah yang mampan untuk jangka panjang.
Katanya, kumpulan itu kekal komited untuk melaksanakan strategi pertumbuhan dengan mengutamakan integriti, disiplin pelaksanaan dan usaha membuka nilai tersembunyi dalam portfolio hartanahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
