Ekonomi kukuh, perlu bijak rebut peluang

DI sebalik ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar, prestasi ekonomi Malaysia terus memperlihatkan daya tahan yang cukup memberangsangkan.
Perkembangan ini memberikan keyakinan bahawa asas ekonomi negara masih kukuh meskipun berhadapan dengan pelbagai tekanan luaran.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku sebelumnya.
Secara keseluruhan, ekonomi negara berkembang sebanyak 5.6 peratus bagi sembilan bulan pertama 2026, mengatasi pertumbuhan 4.8 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Prestasi ini disokong oleh perbelanjaan pengguna, aktiviti pelaburan serta perkembangan positif sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Lebih menarik, kadar inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus pada Oktober 2026 berbanding 1.8 peratus pada September. Ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan tidak semestinya disertai tekanan kenaikan harga yang keterlaluan.
Dari sudut perdagangan antarabangsa, eksport Malaysia melonjak sebanyak 61.1 peratus kepada RM239.2 bilion pada Oktober, manakala import meningkat 54.4 peratus kepada RM197.4 bilion.
Lebihan imbangan dagangan turut mencatatkan RM41.8 bilion, sekali gus mencerminkan kekuatan sektor luaran negara.
Peningkatan eksport, khususnya, disumbangkan oleh permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik, termasuk semikonduktor yang mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi kecerdasan buatan.
Namun, pencapaian ini tidak bermakna Malaysia terlepas daripada risiko ekonomi global. Harga minyak mentah yang kekal tinggi akibat gangguan trafik perkapalan di Selat Hormuz berpotensi meningkatkan kos pengangkutan dan pengeluaran.
Pada masa yang sama, dasar perdagangan bersifat perlindungan atau protectionist oleh Amerika Syarikat boleh menjejaskan kelancaran perdagangan antarabangsa.
Jangkaan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan beberapa negara maju juga berpotensi mempengaruhi aliran modal serta pasaran pertukaran asing.
Tidak dinafikan bahawa terdapat pelbagai permasalahan yang masih membelenggu ekonomi negara, termasuk gaji yang rendah, kenaikan kos sara hidup serta kesenjangan pendapatan dan kekayaan.
Sebagai contoh, 73 peratus daripada jumlah pekerja formal menerima gaji di bawah RM5,000 sebulan. Dalam kategori ini, sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang bergaji di bawah RM3,000 sebulan.
Namun, permasalahan ini memerlukan masa untuk diselesaikan kerana ia melibatkan pelbagai dimensi seperti pendidikan, kesihatan, perkembangan industri, teknologi serta tadbir urus institusi.
Justeru, persoalan penting ialah bagaimana rakyat dan peniaga boleh memanfaatkan kedudukan ekonomi yang baik ini?
Bagi golongan peniaga, pertumbuhan ekonomi yang kukuh seharusnya menjadi pemangkin untuk meningkatkan pelaburan produktif, memperluas pasaran, memperkukuh kecekapan operasi dan memanfaatkan teknologi.
Namun, keputusan perniagaan perlu mengambil kira perubahan kos pembiayaan, kadar pertukaran asing serta permintaan pasaran.
Bagi pengguna pula, pengurusan kewangan peribadi tidak seharusnya terbatas kepada aktiviti menabung semata-mata.
Pelaburan yang berhemah, bersesuaian dengan kemampuan serta profil risiko, penting bagi membantu mengekalkan kuasa beli dalam jangka panjang.
Hakikatnya, inflasi menyebabkan nilai wang semakin menyusut dari semasa ke semasa. Oleh itu, literasi kewangan dan kefahaman terhadap perkembangan ekonomi menjadi semakin penting.
Masyarakat perlu membudayakan amalan membaca, meneliti data ekonomi daripada sumber yang berwibawa serta mendengar pandangan pakar yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
Akhirnya, ekonomi yang kukuh menyediakan peluang, namun kebijaksanaan dalam membuat keputusan menentukan siapa yang benar-benar mendapat manfaat.
Kemakmuran ekonomi bukan sekadar mengenai angka pertumbuhan, tetapi bagaimana rakyat dan perniagaan menterjemahkannya kepada kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

