Pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali

MUMBAI - Selepas 40 hari melarikan diri, seorang pengarah dan penerbit filem berusia 73 tahun akhirnya ditahan polis di sebuah rumah ladang di Mahabaleshwar pada Sabtu selepas didakwa merogol seorang pelakon berulang kali sejak empat tahun lalu.
Menurut laporan Times of India, pengarah dan penerbit filem India, Shakeel Noorani ditahan selepas polis mengesan lokasinya di Medha, daerah Satara.
Dia kemudian dibawa ke mahkamah oleh polis Malwani dan direman sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan.
Polis menggunakan Seksyen 64(2)(M) Kanun Keseksaan Bharatiya (BNS) berkaitan rogol, Seksyen 123 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan racun, Seksyen 351(2) berkaitan ugutan jenayah dan Seksyen 88 kerana menyebabkan keguguran.
Berdasarkan laporan, wanita terbabit membuat laporan polis dengan mendakwa Noorani mengundangnya ke kediamannya di Malwani kira-kira empat tahun lalu atas alasan mahu membincangkan skrip filem.
Wanita itu mendakwa, minumannya kemudian dicampur bahan menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum Noorani didakwa merogolnya.
Menurutnya, selepas sedar, Noorani didakwa menunjukkan rakaman serangan seksual itu menerusi telefon bimbit sebelum mengugut untuk menyebarkannya sekiranya dia membuat laporan polis atau memberitahu keluarganya.
Wanita berkenaan turut mendakwa, rakaman tersebut kemudiannya digunakan untuk mengugutnya dan memaksanya melakukan hubungan seksual berulang kali.
Dia juga mendakwa, Noorani beberapa kali memberikan pil perancang selepas kejadian terbabit dan mendakwa mengalami keguguran.
Menurut pegawai polis Malwani, pihaknya menjalankan siasatan sejak laporan dibuat dan mengesan Noorani selepas menggunakan bantuan teknikal.
"Pasukan polis turut melakukan pemeriksaan di rumah anaknya di Lokhandwala, Andheri namun dia tidak ditemui.
“Dengan bantuan teknikal, kami mengesan lokasinya di sebuah rumah ladang di Medha, daerah Satara. Pasukan polis Medha kemudian menahannya sebelum kami mengambil alih tahanan,” katanya.
Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Zon 2, Sandip Ghuge berkata, pihaknya mengumpulkan maklumat berkaitan kes berkenaan sejak laporan dibuat.
Bagaimanapun, peguam Noorani, Vikas Singh Goar menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa anak guamnya telah dikenakan tuduhan secara palsu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut kini berada dalam prosiding mahkamah.
Noorani pernah mengarahkan beberapa filem Bollywood termasuk Vishnu Devaa (1991), Shreeman Aashique (1993), Bade Dilwala (1999) dan Joru Ka Ghulam (2000).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

