Dua beradik rentung: Polis masih tunggu laporan bedah siasat

Siasatan kemalangan membabitkan dua beradik rentung di Kampung Teloi Tua, Sik masih diteruskan.
Siasatan kemalangan membabitkan dua beradik rentung di Kampung Teloi Tua, Sik masih diteruskan.
A
A
A

SIK - Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dua beradik yang rentung dalam kebakaran di Kampung Teloi Tua di sini.

Ketua Polis Daerah Sik, Superintenden Shamzury Saman berkata, proses bedah siasat masih dijalankan dan laporan berkenaan belum diperoleh setakat ini.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh, selain tiada tangkapan dibuat setakat ini.

"Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat... kes masih disiasat bawah laporan mati mengejut," katanya.

Sebelum ini, dua mangsa dikenal pasti sebagai Aishah Umairah Abdul Latif, 16 bulan dan abangnya, Mohd Raifal Abdul Latif, tiga tahun.

Kedua-duanya ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah pejabat pengurusan bersebelahan pusat penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG) di Kampung Teloi Tua pada Sabtu.

Shamzury berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu berusia 23 tahun yang tidak bekerja dan menumpang sementara di kediaman datuk mereka berhampiran lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!