Lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika sertai pertandingan bola sepak

SEREMBAN - Seorang lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan bola sepak anjuran sebuah parti politik di padang sebuah perumahan di Bandar Ekar Rantau di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada 11.35 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 45 tahun itu, yang menggalas tugas sebagai penjaga gol, rebah ketika aksi sepakan penalti berlangsung.
"Siasatan awal mendapati sewaktu kejadian, isteri mangsa turut berada di padang tersebut untuk memberikan sokongan. Tiada unsur jenayah di tempat kejadian," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Yatim berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk tindakan lanjut, dan mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung serta menerima rawatan di Pusat Jantung Hospital Serdang.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak lengkap berhubung kejadian itu bagi menghormati privasi keluarga mangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
