ERA cipta sejarah, rakam siaran radio ketika terjun dari 13,000 kaki

A
A
A

RAYONG (Thailand) – Stesen radio ERA mencipta sejarah tersendiri apabila rancangan sarapan paginya, 3 Pagi ERA, berjaya merakamkan segmen perbualan siaran ketika penyampainya melakukan terjunan udara dari ketinggian 13,000 kaki.

Pencapaian menerusi projek khas Dari Udara Ke Udara itu melayakkan ERA menerima pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records, sekali gus menjadikannya rancangan sarapan radio pertama di rantau ASEAN dan Asia yang melaksanakan cabaran berkenaan.

Cabaran yang ditaja MBSB Bank itu menyaksikan dua penyampai 3 Pagi ERA, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin, melakukan tiga terjunan secara tandem dari pesawat pada ketinggian 13,000 kaki.

Nabil turut melakukan dua terjunan bagi menggantikan seorang lagi penyampai, Radin, yang tidak dapat menyertai cabaran itu kerana bakal berangkat menunaikan umrah.

Lebih menarik, rakaman perbualan dilakukan sepanjang perjalanan bermula ketika pesawat berlepas, proses pendakian ke altitud ditetapkan, ketika terjun bebas sehingga mereka mendarat menggunakan payung terjun.

Cabaran itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 18 November lalu di Drop Zone Skydive Terengganu, Marang, Terengganu.

Bagaimanapun, perancangan berkenaan terpaksa diubah selepas pesawat mengalami masalah teknikal sehingga menyebabkan cabaran itu dibatalkan.

Enggan membiarkan misi berkenaan terkubur, pasukan ERA mengambil keputusan memindahkan lokasi cabaran ke Rayong, Thailand dalam tempoh dua hari sebelum berjaya menyempurnakannya pada 20 November lalu.

Pengiktirafan itu diberikan menerusi kategori First and Highest Altitude Radio Breakfast Show Talk Sets Hosted and Recorded in Freefall, yang mengiktiraf rakaman segmen perbualan rancangan sarapan radio ketika penyampai melakukan terjunan bebas dari ketinggian 13,000 kaki.

Artikel Berkaitan:

Plak pengiktirafan yang diterima.
Plak pengiktirafan yang diterima.

Rakaman berkenaan turut diketengahkan menerusi siaran khas 3 Pagi ERA selama dua jam, bermula jam 4 petang hingga 6 petang pada hari pencapaian itu direalisasikan.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pengadil ASEAN Records dan ASIA Records, Gillian Ooi berkata, kejayaan itu membuktikan kesungguhan ERA merealisasikan cabaran berkenaan meskipun berdepan perubahan perancangan pada saat akhir.

Menurutnya, keputusan memindahkan lokasi cabaran ke negara lain dalam tempoh singkat menunjukkan komitmen pasukan berkenaan untuk memastikan misi itu berjaya dilaksanakan.

“Rekod tidak semestinya memerlukan pencapaian terdahulu sebagai rujukan. Ia memerlukan seseorang yang berani menjadi yang pertama.

“Apabila pesawat di Terengganu tidak dapat beroperasi, ERA sebenarnya boleh memilih untuk menangguhkan cabaran. Namun, mereka mengambil keputusan memindahkan keseluruhan operasi ke negara lain dalam tempoh dua hari,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin berkata, 3 Pagi ERA sentiasa berusaha membawa pendengar meneroka pengalaman baharu, manakala cabaran kali ini memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman luar biasa di udara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBSB Bank atas sokongan menjayakan projek berkenaan, selain memuji keberanian penyampai serta komitmen seluruh pasukan yang memastikan cabaran itu berjaya dilaksanakan meskipun berdepan halangan teknikal.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!