Lula cipta sejarah pertahan jawatan Presiden Brazil

BRASILIA - Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mencatat kemenangan bersejarah dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden pada Ahad, sekali gus mempertahankan jawatannya untuk penggal keempat yang mencerminkan sokongan rakyat terhadap demokrasi, kemajuan sosial dan kedaulatan negara.
Berdasarkan keputusan diumumkan Mahkamah Pilihan Raya Tinggi (TSE), pemimpin berhaluan kiri mewakili Parti Pekerja (PT) itu memperoleh kira-kira 51.79 peratus undi bersamaan sekitar 64.2 juta undi menewaskan Senator Flavio Bolsonaro daripada Parti Liberal (PL) yang meraih 48.21 peratus undi. Flavio ialah anak kepada bekas Presiden, Jair Bolsonaro.
Lula menang dengan kelebihan lebih empat juta undi lantas mencipta sejarah apabila menjadi calon pertama sejak Brazil kembali mengadakan Pilihan Raya Presiden pada 1989 yang berjaya mengubah kekalahan pada pusingan pertama kepada kemenangan dalam pusingan kedua.
Beliau turut merekodkan jumlah undi tertinggi pernah diraih calon presiden dalam sejarah Brazil mengatasi pencapaiannya sendiri pada pemilihan 2022.
Kemenangan itu menyaksikan Lula bangkit selepas ketinggalan ketika pusingan pertama pada 4 Oktober lalu apabila Bolsonaro memperoleh 47.03 peratus undi berbanding 45.16 peratus yang diraih Lula.
Menerusi kenyataan pertamanya, Lula yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-81 pada Selasa menyifatkan kemenangan itu sebagai 'kekalahan kepada penafian fakta dan pembohongan'. Beliau turut menegaskan Brazil berhak menentukan hala tujunya sendiri tanpa campur tangan kuasa luar.
Naib Presiden, Geraldo Alckmin juga menyambut baik keputusan itu dan menggelar Lula sebagai 'penyelamat demokrasi Brasilia buat kali kedua' malah kemenangannya turut diraikan pemimpin-pemimpin negara Amerika Latin.
Pada hari pengundian, tempoh mengundi di seluruh negara dilanjutkan selama dua jam pada saat akhir atas arahan Hakim Mahkamah Agung Persekutuan, Cristiano Zanin susulan laporan gangguan pengangkutan awam di beberapa negeri.
Bagaimanapun, kem Bolsonaro enggan mengakui kekalahan dan merancang untuk memohon pembatalan keputusan pilihan raya tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

