Arthur, penegasan Malaysia dan COP31

KETIKA menyampaikan Kenyataan Negara di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31), Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menggesa negara maju menambah bantuan berbentuk geran kepada negara membangun yang kaya dengan biodiversiti.
Sebagai ketua delegasi Malaysia ke Antalya, Turkiye, beliau turut menyokong pendirian bersama ASEAN dan menekankan bahawa pembiayaan, teknologi dan kepakaran perlu sepadan dengan komitmen yang diminta daripada negara membangun.
Pilihan Malaysia untuk menekankan geran ada kaitannya dengan dilema yang dihadapi banyak negara membangun - mengimbangi pembangunan dengan pemiliharaan alam.
Kerajaan perlu menyediakan peruntukan untuk menjaga hutan ketika rakyat masih memerlukan kemudahan asas, pekerjaan dan jalan keluar daripada kemiskinan.
Geran membolehkan kerja pemuliharaan yang memberi manfaat jangka panjang kepada dunia diteruskan tanpa menambah hutang negara yang menjaga hutan tersebut.
Tuntutan itu juga mencerminkan persoalan keadilan dalam rundingan iklim.
Negara mempunyai tahap pembangunan dan kemampuan yang berbeza, begitu juga sumbangan mereka kepada pelepasan gas rumah kaca sejak berlakunya perindustrian.
Perbezaan ini perlu diambil kira apabila tanggungjawab dan sokongan untuk menangani perubahan iklim dibincangkan.
Pada masa yang sama, ruang untuk menangguhkan pengurangan pelepasan semakin sempit. Program Alam Sekitar PBB (UNEP) mengunjurkan pemanasan global sekitar 2.8°C menjelang akhir abad ini jika dasar semasa diteruskan.
Untuk mengembalikan kenaikan suhu ke paras 1.5°C pada penghujung abad selepas melepasi paras itu, UNEP menganggarkan pelepasan global perlu turun 45 peratus menjelang 2035 berbanding 2025. Senario itu turut bergantung pada penyingkiran karbon dioksida daripada atmosfera pada skala besar.
Angka global tersebut menggambarkan cabaran bersama, namun usaha setiap negara perlu mengambil kira keadaan masing-masing.
Bagi Malaysia, peralihan kepada ekonomi rendah karbon perlu dirancang supaya industri dapat menyesuaikan operasi, peluang pekerjaan terus berkembang dan keperluan rakyat kekal terpelihara.
Malaysia sendiri telah mengubah cara negara mengukur sumbangannya di bawah Perjanjian Paris.
Sasaran pada 2021 mengukur pelepasan bagi setiap unit keluaran ekonomi. Dengan ukuran itu, negara boleh mencatat kemajuan walaupun jumlah pelepasan masih meningkat apabila ekonomi berkembang.
Melalui komitmen terbaharu yang dikenali sebagai NDC 3.0, Malaysia menyasarkan pengurangan jumlah pelepasan sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035, berbanding paras puncaknya.

Malaysia menjangka pelepasan negara mencapai puncak antara 2029 hingga 2034 dan berusaha mencapainya seawal 2030 jika keadaan dan sokongan mengizinkan. Malaysia menetapkan pengurangan sehingga 20 juta tan tanpa syarat.
Pengurangan tambahan sehingga 10 juta tan pula bergantung pada pembiayaan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti dari luar negara.
Angka itu memberi gambaran tentang sejauh mana kerjasama antarabangsa boleh membantu Malaysia melangkaui apa yang mampu dicapainya sendiri.
Komitmen tersebut memerlukan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri, selain penglibatan industri serta masyarakat.
Kemajuan juga perlu dilaporkan dengan jelas supaya orang ramai dapat memahami perubahan yang dilaksanakan dan menilai pencapaian negara dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun sejak menerajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada Disember 2025, Arthur memastikan semua perkara itu berjalan dengan teratur.
Beliau meneruskan pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 yang diperkenalkan pada 2024, selain melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan pada April 2026.
NRES turut menyediakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dengan penyelarasan bersama Sabah dan Sarawak masih berjalan.
NRES juga meneruskan penyediaan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang bermula pada 2025 dengan sokongan Dana Iklim Hijau. Usaha pemuliharaan turut disokong Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030 serta peruntukan Ecological Fiscal Transfer sebanyak RM250 juta kepada negeri pada 2026.
Di peringkat serantau, Arthur pada Ogos 2026 mengumumkan hasrat NRES mengemukakan surat kepada Sekretariat ASEAN bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi El Niño dan usaha mencegah jerebu rentas sempadan.
Dalam kalangan negara membangun, kerjasama juga boleh bermula dengan berkongsi pengalaman menangani masalah yang sudah dikenali.
Di sesi menteri D-8, Arthur menawarkan penyertaan Malaysia dalam penyediaan Pelan Hala Tuju Iklim dan Alam Sekitar 2027–2030.
Pengalaman Asia Tenggara menghadapi El Niño memberi satu contoh.
Apabila cuaca kering berpanjangan, tanah gambut yang telah disalirkan lebih mudah terbakar dan asapnya boleh merentasi sempadan.
Negara anggota boleh memanfaatkan kerjasama itu untuk berkongsi data amaran awal dan kepakaran memulihkan tanah gambut.
Kesannya dirasai oleh keluarga yang perlu mengehadkan aktiviti di luar rumah, pesawah yang bergantung pada bekalan air dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Persediaan menghadapi cuaca kering dan usaha mencegah kebakaran menjadi sebahagian daripada langkah melindungi kesihatan serta kehidupan rakyat.
Bagi projek yang memerlukan modal besar, Malaysia turut mencari pembiayaan daripada pelabur.
Di Pavilion Malaysia, Arthur melancarkan inisiatif Sukuk PRISMA oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menarik pelaburan bagi projek seperti tebatan banjir dan perlindungan pesisir.
Sukuk memberi pilihan pembiayaan kepada projek yang mempunyai sumber bayaran balik yang jelas. Suruhanjaya itu dijadualkan memperkenalkan kerangka terperincinya pada suku pertama 2027.
Selepas Antalya, dua perkembangan di dalam negara wajar diberi perhatian.
Malaysia komited untuk menyerahkan laporan ketelusan kedua menjelang akhir 2026. Laporan itu memberi peluang kepada rakyat untuk menilai kemajuan negara dalam mengurangkan pelepasan.
Apabila memuktamadkan Pelan Adaptasi Kebangsaan pula, kerajaan boleh memperincikan kawasan yang akan diberi keutamaan, kos perlindungan dan agensi yang bertanggungjawab melaksanakannya.
Bagi penduduk yang berdepan banjir setiap kali tengkujuh, butiran itu membawa makna yang cukup jelas.
Mereka mahu tahu bila kerja tebatan banjir di kawasan mereka akan bermula, sama ada amaran akan sampai lebih awal dan sejauh mana kediaman mereka lebih terlindung apabila air kembali naik.
Di situlah rakyat dapat melihat nilai pembiayaan dan kerjasama yang Malaysia usahakan di Antalya.
*Dr. Zuliana Azwa Zulkifli ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
