PH wajar kaji semula kerjasama dengan BN di Selangor - AMK

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) Selangor wajar mengkaji semula kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) Selangor susulan perkembangan kerjasama parti itu dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata, tindakan BN bekerjasama dengan PN untuk berdepan PH di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menunjukkan parti itu sanggup mengenepikan semangat Kerajaan Perpaduan apabila berdepan pilihan raya.
Beliau berkata, jika BN bebas membuat keputusan politik untuk bekerjasama dengan PN di Negeri Sembilan, PH juga berhak menilai semula bentuk kerjasama sedia ada bersama BN.
"Saya berpandangan sudah tiba masanya PH Selangor mengkaji semula kerjasama politik bersama BN Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN: Penamaan calon buka tirai PRN Negeri Sembilan ke-16
PRN Negeri Sembilan: Penyokong parti 'lawan' sorakan
PRN Negeri Sembilan: Calon PH ziarah pusara isteri sebelum penamaan calon
PRN Negeri Sembilan: Abdul Hadi, Asyraf Wajdi berjabat tangan, curi tumpuan penyokong
Pemimpin tertinggi BN iringi calon tanding PRN Negeri Sembilan
PRN Negeri Sembilan: Jangan campur aduk adat dengan politik - Tok Mat
PRN Negeri Sembilan: Anthony berdepan calon BN di DUN Chennah
"Kerjasama politik mestilah dibina atas dasar saling menghormati, kepercayaan dan komitmen, bukan berubah mengikut musim pilihan raya atau kepentingan politik semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohamad Shahrul berkata, gesaan itu bukan bertujuan menggugat Kerajaan Perpaduan atau menjejaskan kestabilan pentadbiran Selangor, sebaliknya meminta kepimpinan PH membuat penilaian secara jujur dan strategik berdasarkan realiti politik semasa.
Katanya, PH perlu bersikap tegas dan konsisten dalam menentukan keputusan politik terbaik demi kepentingan parti, penyokong serta rakyat.
"Jika BN boleh membuat keputusan berdasarkan pertimbangan politik mereka, maka PH juga berhak menilai semula bentuk kerjasama sedia ada.
"Sudah tiba masanya PH Selangor mengkaji sama ada kerjasama dengan BN Selangor masih relevan dan memberi manfaat kepada perjuangan parti serta selari dengan aspirasi penyokong dan rakyat di Selangor," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

