ADUN lantikan: Suara rakyat atau percaturan politik?

LANDSKAP politik Terengganu mencatat sejarah baharu apabila pentadbiran Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melantik wakil Parti Gerakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Langkah itu menamatkan ketiadaan wakil rakyat bukan Melayu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sejak kekalahan Datuk Toh Chin Yaw daripada MCA pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Menurut penganalisis politik, Dr Azrie Azih, inisiatif itu secara luaran disifatkan percubaan kerajaan negeri memperluas inklusiviti dan menyantuni kepelbagaian demografi.
Namun, pelantikan itu turut menimbulkan persoalan sejauh mana seorang wakil yang tidak dipilih melalui peti undi mampu menggalas tanggungjawab dan memenuhi mandat rakyat.
Kejayaan ADUN lantikan banyak bergantung pada keupayaan penyandang dan kerajaan negeri menangani empat cabaran utama, bermula dengan persoalan legitimasi antara wakil yang dipilih melalui pilihan raya dengan wakil yang dilantik.
Biarpun sah dari sudut perlembagaan negeri, pelantikan itu berisiko menjejaskan prinsip demokrasi sekiranya dilihat sekadar percaturan taktikal Perikatan Nasional (PN) untuk memenuhi kuota perwakilan kaum di atas kertas.
Justeru, ADUN berkenaan perlu bekerja lebih keras membuktikan kehadirannya mampu memberi nilai tambah kepada mutu perbahasan serta proses penggubalan dasar di DUN.
Cabaran kedua ialah memastikan pelantikan itu tidak sekadar menjadi representasi kosmetik kerana mandat rakyat tidak akan terbela sekiranya ADUN berkenaan hanya berperanan sebagai 'proksi identiti'.
Masyarakat bukan Melayu di Terengganu kini semakin pragmatik dan tidak lagi memberikan sokongan semata-mata atas dasar persamaan etnik.
Beliau perlu sentiasa turun padang, mendengar aspirasi rakyat, merangka dasar silang kaum yang inklusif dan menyelesaikan isu realistik komuniti seperti peluang perniagaan, pelesenan penjaja dan kelangsungan pendidikan.
Ketiga, kerajaan negeri berhadapan isu kelompangan portfolio dan kekaburan akauntabiliti. Ketiadaan portfolio khusus buat masa ini menyukarkan penyediaan instrumen pengukuran atau Penunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menilai keberkesanan wakil lantikan tersebut.
Memandangkan kedudukan legislatif itu melibatkan penggunaan dana awam, kerajaan negeri perlu menjelaskan secara telus skop tugas, bidang kuasa serta tanggungjawab wakil lantikan berkenaan kepada rakyat dan pembayar cukai.
Cabaran terakhir ialah menangani persepsi masyarakat Melayu dan Cina di peringkat akar umbi yang memerlukan pendekatan seimbang dan berhati-hati.
Bagi pengundi Melayu, penerimaan terhadap pelantikan itu bergantung sejauh mana pentadbiran Pas mampu meyakinkan bahawa pengiktirafan hak minoriti tidak menjejaskan kedudukan masyarakat majoriti Melayu-Islam.
Pada masa sama, ADUN ini tidak boleh dilihat oleh pengundi Cina sebagai proksi pasif atau boneka yang hanya tunduk kepada kerajaan negeri. Defisit kepercayaan daripada kedua-dua belah pihak akan menggagalkan mandat pelantikan.
Kesimpulannya, langkah politik ini meletakkan tanggungjawab besar kepada kerajaan negeri dan wakil Gerakan berkenaan untuk membuktikan keberkesanan pelantikan tersebut.
Pelantikan ini hanya boleh dianggap berjaya sekiranya wakil berkenaan mampu berperanan sebagai ejen semak dan imbang yang berkesan, memperjuangkan kepentingan golongan minoriti serta memastikan DUN Terengganu kekal dihormati sebagai platform keabsahan suara rakyat, bukannya sekadar medan melengkapkan kuota politik.
*Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

