Jenazah tiga anggota polis maut renjatan elektrik akan dibawa pulang ke kampung halaman

BEAUFORT - Jenazah tiga anggota polis yang maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Weston di sini akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Sarawak, Kelantan dan Terengganu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya ketika ini masih belum menerima maklumat terperinci mengenai lokasi pengebumian ketiga-tiga anggota berkenaan.
"Ketiga-tiga mangsa bertugas di Balai Polis Weston, berusia 40 tahun berasal dari Sarawak, seorang lagi berusia 29 tahun berasal dari Kelantan, dan seorang berasal dari Terengganu berusia 26 tahun.
"Jenazah ketiga-tiga dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat dan selepas selesai urusan dokumentasi, jenazah akan dihantar ke kampung halaman masing-masing diiringi oleh pegawai daripada Ibu Pejabat Polis (IPD) Beaufort," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Champin sebelum itu memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 5.50 petang ketika ketiga-tiga anggota terbabit sedang mengait buah kelapa menggunakan galah besi sepanjang kira-kira lapan meter.
"Apabila mereka selesai mengait buah kelapa dan hendak mengalihkan serta menurunkan galah tersebut, salah seorang daripada mereka hilang keseimbangan menyebabkan galah tersebut jatuh ke arah bertentangan pokok kelapa dan terkena kabel elektrik utama.
"Akibat kejadian itu arus elektrik mengalir ke galah besi dan merenjatkan ketiga-tiga mangsa," katanya.
Menurutnya, kejadian berlaku di luar Balai Polis Weston berhampiran sebuah sekolah di kawasan berkenaan.
"Keadaan permukaan kawasan tersebut merupakan tanah gambut dan terdapat air bertakung," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik
Jolok kelapa guna galah besi punca tiga polis maut terkena renjatan elektrik
Sabah Electricity siasat punca tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik
Anwar arah siasatan menyeluruh kejadian anggota polis maut di Beaufort
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
