PBB diberi amaran gencatan senjata Gaza berisiko runtuh

Perjanjian gencatan senjata yang gagal membawa perubahan nyata kepada kehidupan penduduk Gaza tidak mungkin dapat bertahan selama-lamanya.- Foto Agensi
Perjanjian gencatan senjata yang gagal membawa perubahan nyata kepada kehidupan penduduk Gaza tidak mungkin dapat bertahan selama-lamanya.- Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK – Gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza berisiko runtuh sekiranya kedua-dua pihak terus gagal melaksanakan komitmen perjanjian damai yang dipersetujui tahun lalu, menurut amaran Lembaga Keamanan (Board of Peace) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam laporan tahunan pertamanya yang diserahkan kepada Majlis Keselamatan PBB pada Selasa, badan yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu memberi amaran bahawa jurang antara persetujuan di atas kertas dengan keadaan sebenar di lapangan menjadi ancaman utama terhadap kelangsungan gencatan senjata.

Laporan berkenaan turut menegaskan bahawa perjanjian gencatan senjata yang gagal membawa perubahan nyata kepada kehidupan penduduk Gaza tidak mungkin dapat bertahan selama-lamanya.

Lembaga Keamanan itu ditubuhkan pada 2025 atas inisiatif Presiden AS, Donald Trump, bagi menyelia pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan usaha pembinaan semula Gaza.

Gencatan senjata berkenaan mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025 menerusi pelan damai 20 perkara yang turut menetapkan hala tuju ke arah penubuhan negara Palestin.

Bagaimanapun, serangan ketenteraan Israel masih berterusan, manakala aktiviti ketenteraan Hamas dan kegagalan melaksanakan beberapa perkara utama perjanjian menyebabkan proses damai semakin terbantut.

Laporan itu turut membangkitkan kebimbangan terhadap serangan udara Israel yang masih mengorbankan penduduk Palestin serta sekatan kemasukan bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza menjelang musim sejuk.

Menurut lembaga berkenaan, sekatan Israel terhadap kemasukan bekalan dan peralatan, selain kekurangan pembiayaan, terus menjejaskan persediaan serta operasi bantuan kemanusiaan.

Keadaan itu menyebabkan penduduk Gaza berisiko menghadapi satu lagi musim sejuk dalam khemah dan runtuhan bangunan yang musnah akibat peperangan.

Lembaga berkenaan menggesa kemasukan segera bekalan khemah, bahan perlindungan musim sejuk, pam air, generator serta jentera berat bagi membantu operasi pemulihan dan menyelamatkan penduduk yang terjejas.

Kekurangan peralatan berkenaan turut menyukarkan usaha membersihkan runtuhan, membaiki kemudahan asas dan menyediakan tempat perlindungan lebih selamat kepada keluarga kehilangan tempat tinggal.

Satu lagi halangan utama ialah kegagalan Israel membenarkan badan pentadbiran awam teknokratik yang ditubuhkan bagi mengurus Gaza secara sementara memulakan tugasnya di wilayah berkenaan.

Lembaga Keamanan berkata, kerajaan Israel masih belum membuat keputusan penting berkaitan syarat dan aturan latihan, penempatan serta pengoperasian semula pasukan polis awam Palestin di Gaza.

Kebuntuan itu turut menyebabkan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa yang dirancang dalam pelan damai berkenaan tertangguh.

Pasukan berkenaan sepatutnya memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, memudahkan pengunduran tentera Israel, melaksanakan pelucutan senjata Hamas dan membuka jalan kepada pembinaan semula Gaza.

Bagaimanapun, proses berkenaan masih belum menunjukkan kemajuan ketara.

Laporan itu menggesa kerajaan Israel segera membuat keputusan yang diperlukan bagi membolehkan pentadbiran sementara dan pasukan keselamatan awam beroperasi.

Bagi mengatasi kebuntuan itu, Lembaga Keamanan meminta Majlis Keselamatan PBB memberikan sokongan penuh terhadap perjanjian damai serta mendesak Israel dan Hamas memenuhi komitmen masing-masing.

Badan itu menegaskan kelewatan satu pihak tidak boleh dijadikan alasan untuk pihak lain turut gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Menurut laporan berkenaan, pematuhan kedua-dua pihak terhadap kewajipan yang dipersetujui merupakan satu-satunya laluan bagi membolehkan pengunduran tentera Israel dan pembinaan semula Gaza secara besar-besaran.

Laporan itu turut menegaskan bahawa sebarang penyelesaian jangka panjang mesti menyediakan laluan yang boleh dipercayai ke arah penentuan nasib sendiri rakyat Palestin serta penubuhan sebuah negara Palestin.

Lembaga Keamanan memberi amaran bahawa sekiranya gencatan senjata runtuh, tiada lagi pelan hala tuju untuk dipulihkan, tiada pentadbiran sementara untuk ditempatkan dan tiada persekitaran sesuai bagi memulakan pembinaan semula.

Perkembangan itu sekali lagi memperlihatkan betapa rapuhnya proses damai di Gaza ketika jutaan penduduk masih berdepan kemusnahan kediaman, kekurangan bekalan asas dan ancaman keselamatan meskipun perjanjian gencatan senjata sudah berkuat kuasa lebih setahun. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!