Lewis Hamilton lawat sempadan Rafah

RAFAH - Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton tiba di El Arish, Mesir pada Selasa bagi melihat sendiri usaha menerima bantuan kemanusiaan dan bekalan bantuan yang disalurkan ke Semenanjung Gaza.
Gabenor Sinai Utara menerusi laman Facebook memaklumkan bahawa lawatan itu merangkumi tinjauan ke pintu sempadan Rafah serta gudang penyimpanan bantuan milik Bulan Sabit Merah Mesir di El Arish.
Hamilton turut dilihat beramah mesra dengan petugas bantuan selain bertanyakan kekerapan mereka dibenarkan memasuki Gaza menerusi pintu sempadan Rafah.
Bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa kelewatan berulang dalam membawa masuk ubat-ubatan menyelamatkan nyawa, anggota prostetik dan bekalan lain ke Gaza boleh membawa kesan buruk kepada rakyat Palestin yang amat memerlukannya.
Hamilton sememangnya dikenali sebagai individu yang aktif menyokong pelbagai usaha kemanusiaan dan kebajikan.
Pada 2021, beliau menubuhkan organisasi kebajikan Mission 44 bagi membantu golongan muda mendapatkan akses kepada peluang kerjaya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Setahun kemudian, Hamilton menduduki tangga kelima dalam senarai Sunday Times Giving List, iaitu ranking tahunan yang diterbitkan akhbar Britain, selepas dilaporkan menyumbangkan kira-kira £20 juta (RM111 juta) ketika itu.
Lawatan berkenaan berlangsung ketika Gaza berdepan bencana banjir susulan hujan lebat yang melanda wilayah itu minggu ini sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang, termasuk empat kanak-kanak.
Banjir turut menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal selain runtuhan benteng pasir di sebuah kem penempatan sementara di selatan Deir el-Balah.
Pertahanan Awam Gaza merekodkan lebih 2,100 panggilan kecemasan sehingga Isnin lalu dan memberi amaran bahawa lebih 2,000 bangunan berisiko runtuh.
Dalam perkembangan berkaitan, serangan Israel dilaporkan masih berterusan di seluruh wilayah itu dengan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam serangan udara pada Selasa, termasuk seorang bapa bersama anak lelakinya yang berusia 13 tahun, menurut sumber kesihatan tempatan.
Pengurangan bantuan makanan dan bekalan kemanusiaan sejak kebelakangan ini turut menambah tekanan terhadap penduduk Gaza yang terus berdepan kekurangan sumber keperluan asas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

