Derita Gaza tiada titik noktah

GENTING GAZA - Israel kembali memperhebat kempen pengeboman ke atas Genting Gaza apabila sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin terkorban dalam siri serangan pada Khamis.
Bedilan bertalu-talu turut menyasarkan Hospital Nasser di selatan wilayah itu yang disifatkan sebagai serangan berdarah paling dahsyat ketika rejim Tel Aviv berdepan ketidaktentuan politik susulan keputusan pilihan raya pada bulan lalu yang gagal menghasilkan majoriti jelas. Serangan ganas itu juga menyebabkan puluhan orang tidak berdosa cedera.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan serangan terhadap kompleks perubatan itu dengan menyasarkan seorang pemimpin kanan Hamas dan beberapa anggota sayap ketenteraan gerakan berkenaan yang didakwa kononnya menggunakan kemudahan tersebut sebagai markas operasi.

Bagaimanapun, Hamas menafikan dakwaan tidak berasas tersebut.
Sehingga kini kedua-dua pihak bertelagah saling menuding jari menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) yang berkuat kuasa pada Oktober 2025.

Antara mangsa terkorban ialah doktor Palestin, Rizeq Abu Sheikh yang sempat menjalankan pembedahan bersama pakar bedah sukarelawan dari Britain, Goher Rahbour pada malam Rabu.

Berkongsi detik cemas ketika serangan berlaku, Rahbour memberitahu dia sedang membaca menggunakan telefon bimbitnya apabila letupan kuat menggegarkan bangunan hospital sejurus selepas tengah malam. Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas sehingga seluruh bangunan diselubungi asap tebal.

Kesan kemusnahan jelas kelihatan apabila sebahagian tangga luar bangunan runtuh dan serpihan konkrit berselerakan bersama peralatan perubatan yang musnah. Petugas paramedik, Ezzedin Abu Sabha mendakwa bangunan pembedahan itu dibedil pesawat pejuang F-16 Israel tanpa sebarang amaran awal.

Sementara itu, Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan sejumlah penduduk Palestin di beberapa lokasi sekitar Gaza turut menjadi korban kekejaman rejim Zionis.
Ketika penduduk Gaza masih dihujani peluru dan bergelut menyelamatkan nyawa, tragedi kemanusiaan terus meragut nyawa apabila seorang bayi berusia sembilan bulan meninggal dunia akibat kesejukan melampau di wilayah selatan Khan Yunis.

Khemah-khemah sementara yang menjadi tempat berteduh ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal gagal menyediakan perlindungan sewajarnya daripada suhu rendah, hujan lebat dan tiupan angin kencang.
Kekurangan keperluan asas seperti selimut, pakaian tebal dan kemudahan pemanas menyebabkan ribuan keluarga terpaksa bertahan dalam khemah yang serba daif tanpa perlindungan mencukupi daripada cuaca sejuk.

Peristiwa memilukan itu menambah satu lagi episod menyayat hati dalam malapetaka kemanusiaan di Gaza apabila penduduknya bukan sahaja berdepan ancaman serangan Israel malah terpaksa mengharungi cuaca ekstrem dengan sumber yang amat terbatas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

