Butik mewah di Milan jadi sasaran perusuh, barangan dijarah

 Beberapa butik mewah antarabangsa di pusat bandar Milan mengalami kerosakan dan kerugian besar selepas sekumpulan perusuh bertopeng menceroboh serta melarikan barangan berharga dalam kekacauan yang tercetus ketika protes.
Beberapa butik mewah antarabangsa di pusat bandar Milan mengalami kerosakan dan kerugian besar selepas sekumpulan perusuh bertopeng menceroboh serta melarikan barangan berharga dalam kekacauan yang tercetus ketika protes.
A
A
A

MILAN – Beberapa butik mewah antarabangsa di pusat bandar Milan mengalami kerosakan dan kerugian besar selepas sekumpulan perusuh bertopeng menceroboh serta melarikan barangan berharga dalam kekacauan yang tercetus ketika protes, semalam.

Insiden itu berlaku di kawasan beli-belah terkenal sekitar Piazza del Duomo dan Galleria Vittorio Emanuele II, yang menjadi tumpuan pelancong serta peminat fesyen mewah.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, kumpulan bertopeng terbabit dipercayai mengambil kesempatan daripada demonstrasi aman yang diadakan bagi membantah peningkatan kos sara hidup dan peperangan sebelum bertindak merosakkan premis perniagaan.

Mereka dilaporkan memecahkan cermin pameran sebelum memasuki butik dan melarikan pelbagai barangan, termasuk pakaian berjenama, kasut serta beg tangan mewah.

Memetik laporan media tempatan, Il Sole 24 Ore, butik Nike di Corso Vittorio Emanuele antara premis terawal yang menjadi sasaran.

Kerosakan turut dilaporkan di gedung beli-belah La Rinascente dan premis Foot Locker, yang tingkapnya pecah akibat tindakan perusuh.

Butik jenama mewah Louis Vuitton dan Hermès juga dilaporkan mengalami kerosakan serta kehilangan barangan.

Situasi itu menyebabkan pekerja di puluhan butik lain mengambil langkah berjaga-jaga dengan menurunkan pengatup besi dan mengunci pintu premis bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Pada masa sama, ratusan pelancong asing dilaporkan bergegas meninggalkan kawasan berkenaan ketika keadaan semakin tegang.

Artikel Berkaitan:

Polis anti-rusuhan kemudian menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk mengawal keadaan serta menyuraikan kumpulan terbabit.

Beberapa kenderaan pihak berkuasa turut dirosakkan, malah ada yang dibakar di tengah jalan.

Agensi berita Itali, LaPresse, melaporkan sekurang-kurangnya dua anggota polis cedera dalam pertempuran itu, manakala kira-kira 50 penunjuk perasaan ditahan untuk siasatan lanjut.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, turut menyuarakan kemarahan terhadap insiden berkenaan menerusi kenyataan di media sosial.

Beliau menegaskan perbuatan membakar bandar dan merosakkan harta benda awam merupakan jenayah serius yang tidak boleh diterima.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri fesyen dan peruncitan mewah di Milan, yang merupakan antara pusat fesyen utama dunia. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!