Abot, Sanum pujuk Yeop Tonggang pindah

IPOH - Seekor gajah liar jantan yang diberi nama Yeop Tonggang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas memasuki kawasan sebuah resort di Kampung Orang Asli Tonggang di sini pada Selasa.
Operasi pemindahan gajah liar berusia kira-kira 10 tahun itu berjaya dilakukan dengan bantuan dua ekor gajah denak betina dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang iaitu Abot dan Sanum.
Kedua-dua gajah denak berkenaan digunakan untuk memujuk Yeop Tonggang supaya bergerak menghampiri lori sebelum haiwan liar itu dibawa keluar dari kawasan berkenaan.
Pengarah Perhilitan Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehadiran gajah liar itu di Kampung Tonggang sejak April lalu susulan kejadian haiwan berkenaan merosakkan tanaman petani dan pekebun berkelompok.
Menurutnya, haiwan berkenaan juga dipercayai merupakan sebahagian dari kawanan gajah liar yang merosakkan tanaman di Bukit Bangkong, Chemor baru-baru ini.
"Operasi yang melibatkan seramai 42 anggota itu bermula pada jam 8 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari.
"Gajah jantan yang dipercayai berasal dari Hutan Simpan Piah ini akan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu," katanya kepada ketika dihubungi.

Sementara itu, pemilik Zuls Farm & Resort, Zulkefli Ahmad, 65, berkata, gajah berkenaan sudah dikesan berkeliaran di kawasan kebun sekitar resort miliknya sejak lima hingga enam bulan lalu sebelum mula memasuki kawasan berhampiran resort.
Katanya, kehadiran haiwan itu mula disedari lebih ketara pada Ahad lalu apabila ia dikesan berada di kolam ikan di kawasan berkenaan sebelum pihak Perhilitan menjalankan operasi menangkap menggunakan tembakan pelali.
"Sepanjang lebih 20 tahun saya berkebun dan mengusahakan resort serta tapak perkhemahan di sini, ini kali pertama berlaku kejadian seperti ini.
"Setakat ini, kerosakan yang berlaku hanya membabitkan beberapa pokok nangka, pisang dan kelapa. Saya tidak menyalahkan gajah itu kerana kawasan ini memang laluan asal haiwan berkenaan," katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Zulkefli berkata, dia bagaimanapun bimbang kehadiran seekor lagi gajah yang terlepas ketika operasi sebelum ini kerana dikhuatiri kembali memasuki kawasan resort dan kebun penduduk.
Justeru, beliau berharap pihak Perhilitan dapat meneruskan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengelakkan kejadian sama berulang.
Dalam pada itu, operasi memindahkan Yeop Tonggang berdepan cabaran apabila laluan masuk ke kampung berkenaan terlalu sempit untuk dilalui lori pengangkut gajah.
Keadaan itu menyebabkan lori terpaksa diletakkan kira-kira dua kilometer dari lokasi gajah berkenaan ditangkap, sekali gus memerlukan Abot dan Sanum berjalan sejauh jarak tersebut untuk memujuk Yeop Tonggang.
Operasi mengambil masa kira-kira dua jam setengah sebelum gajah liar itu berjaya dinaikkan ke dalam lori untuk dibawa ke destinasi pemindahan.
Kehadiran orang ramai yang ingin melihat operasi berkenaan turut memeriahkan suasana kampung, malah mereka berpeluang bermesra dengan Abot dan Sanum sejurus operasi selesai sebelum kedua-dua gajah denak itu dibawa keluar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

