Perniagaan ayam lonjak untung bersih MFM 31.2 peratus

MFM terus memperkukuh kedudukannya dalam industri makanan menerusi perniagaan tepung, bijirin dan integrasi ayam.
MFM terus memperkukuh kedudukannya dalam industri makanan menerusi perniagaan tepung, bijirin dan integrasi ayam.
A
A
A

PENINGKATAN sumbangan daripada perniagaan ayam dan segmen tepung membantu Malayan Flour Mills Bhd (MFM) merekodkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM127.17 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026.

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham itu meningkat 31.2 peratus berbanding RM96.95 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi berkenaan disokong peningkatan keuntungan daripada syarikat usaha sama kumpulan, khususnya Dindings Tyson Sdn Bhd (DTSB) yang menjalankan perniagaan integrasi ayam.

Menurut MFM, keuntungan selepas cukai DTSB melonjak kepada RM53 juta daripada RM15.7 juta, manakala bahagian keuntungan yang diterima MFM meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM27 juta daripada RM8 juta.

Peningkatan tersebut didorong jumlah jualan lebih tinggi dan margin sumbangan lebih baik, selain keuntungan nilai saksama aset biologi yang diiktiraf dalam tempoh semasa berbanding kerugian pada tahun sebelumnya.

Dalam masa sama, perniagaan tepung turut catat pertumbuhan apabila hasil kumpulan peningkat dua peratus kepada kepada RM2.42 bilion daripada RM2.37 bilion bagi tempoh sembilan bulan tersebut, manakala keuntungan selepas cukai segmen perdagangan tepung dan bijirin di Malaysia dan Vietnam serta makanan akuakultur meningkat 11.1 peratus kepada RM116.9 juta daripada RM105.1 juta.

Di Indonesia, keuntungan selepas cukai PT Bungasari Flour Mills melonjak kepada RM17.4 juta daripada RM4.7 juta, disokong jumlah jualan tepung dan margin sumbangan lebih tinggi.

Bahagian keuntungan MFM daripada syarikat usaha sama itu meningkat kepada RM5.2 juta daripada RM1.4 juta.

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, perniagaan tepung dan ayam menyumbang kepada prestasi lebih kukuh sepanjang sembilan bulan, dengan segmen ayam menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan untung bersih.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah jualan tepung lebih tinggi di Malaysia dan Vietnam serta menerusi usaha sama kami di Indonesia turut meningkatkan pendapatan.

"Keputusan memberangsangkan ini memberi kami keyakinan terhadap prospek kumpulan bagi baki tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih MFM meningkat 16.7 peratus kepada RM41.8 juta daripada RM35.8 juta, manakala hasil bertambah 13.8 peratus kepada RM879.4 juta berbanding RM773.1 juta pada suku sama tahun lali, manakala untung bersih bertambah 16.7 peratus kepada RM41.8 juta daripada RM35.8 juta.

Dalam tempoh tersebut, keuntungan selepas cukai DTSB bagi suku ketiga melonjak kepada RM17.5 juta daripada RM3.9 juta, sekali gus meningkatkan bahagian keuntungan MFM kepada RM8.9 juta daripada RM2 juta.

Peningkatan tersebut membantu mengimbangi kerugian selepas cukai RM3.3 juta yang dicatatkan PT Bungasari dalam suku berkenaan.

MFM yang ditubuhkan pada 1961 merupakan antara pengeluar tepung terbesar di Malaysia dengan operasi di Lumut, Perak dan Pasir Gudang, Johor, selain Vietnam dan Indonesia.

Dengan pengalaman lebih 60 tahun dalam industri, kumpulan itu terus memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan makanan menerusi perniagaan tepung, bijirin dan produk ayam.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!