312 rakyat terkandas di Algeria, Tunisia, Maghribi tiba di tanah air

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri memaklumkan sehingga jam 1.40 tengah hari tadi, seramai 312 rakyat Malaysia yang terkandas di Algeria, Tunisia dan Maghribi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat sewaan khas Air Asia X.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua mereka merupakan rakyat Malaysia yang terjejas kerana ketiadaan penerbangan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, mereka terdiri daripada 17 warganeg Indonesia, Singapura (6), Jepun (9) dan Korea Selatan(2) yang dijadualkan menaiki penerbangan susulan pulang ke negara masing-masing setibanya di Malaysia

"Kerajaan Malaysia turut membantu memudahcara kepulangan warga asing yang turut terkesan dengan memberi kebenaran menaiki pesawat tersebut.

"Pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Algeria, Tunisia dan Maghribi atas bantuan yang dihulurkan serta kedutaan Malaysia di negara berkenaan bagi memastikan misi ini berjaya dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Kamarudin yang juga Pengerusi pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Negeri berkata seramai 91 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Riyadh, Arab Saudi selamat tiba jam 1.05 tengah hari di KLIA dengan menaiki pesawat Malindo Air.

Kumpulan rakyat Malaysia tersebut sebelum itu menaiki pesawat bantuan kemanusiaan Singapore Airlines yang dihantar oleh Kerajaan Singapura bagi membawa pulang warganya dari Arab Saudi.

"Kerajaan merakamkan setinggi penghargaan kepada Singapura yang membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat penggantungan operasi penerbangan.

Artikel Berkaitan:

"Padamasa yang sama, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia selanjutnya ke tanah air.

"Rakyat Malaysia yang masih berada di Arab Saudi diminta bertenang dan mematuhi peraturan semasa yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wisma Putra turut mengambil maklum kepulangan seramai 371 warga Malaysia dari Mesir hari ini pada jam 5.25 pagi atas pembiayaan sendiri dengan menaiki pesawat kelolaan Zara Zakiah Sdn Bhd.