Mayat lelaki bertatu bintang ditemukan hanyut, identiti masih misteri

Polis masih berusaha mengenal pasti identiti dan kewarganegaraan lelaki yang ditemukan hanyut di sungai berhampiran Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh pada 13 November lalu. Gambar hiasan
Polis masih berusaha mengenal pasti identiti dan kewarganegaraan lelaki yang ditemukan hanyut di sungai berhampiran Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh pada 13 November lalu. Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI BULOH – Identiti dan status kewarganegaraan mayat lelaki yang ditemukan hanyut di sungai berhampiran Kampung Merbau Sempak di sini pada 13 November lalu masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, keadaan kulit pada bahagian lengan kiri mayat yang mengalami kerosakan menyukarkan proses pengecaman.

Menurutnya, mayat lelaki berkenaan ditemukan orang awam sebelum pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.35 pagi.

"Susulan maklumat diterima, polis bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh telah menjalankan operasi mengeluarkan mayat berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati lelaki itu berbadan berisi dan mempunyai tatu berbentuk bintang di bahagian kanan leher.

"Mayat ditemukan dalam keadaan tidak berbaju, hanya memakai seluar jeans berwarna biru dan stoking," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan mayat seorang lelaki dewasa ditemui tersangkut pada batu di tebing sungai berhampiran Jambatan Lorong 10, Kampung Merbau Sempak pada 13 November lalu.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mayat berkenaan.

"Bedah siasat telah dijalankan di Hospital UiTM Puncak Alam pada 13 November lalu kira-kira jam 7.40 malam oleh Pakar Patologi Forensik.

Artikel Berkaitan:

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan identiti lelaki berkenaan supaya tampil membantu siasatan bagi membolehkan polis mengesan warisnya.

"Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hafiz Seleman menerusi talian 016-4507492 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222.

"Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!