Penuntut asnaf dilatih urus kafe, bukan sekadar terima bantuan

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengubah pendekatan memperkasa pelajar asnaf dengan melatih mereka mengurus sebuah kafe bagi menjana pendapatan, berbanding hanya menyalurkan bantuan kewangan.
Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Arham Abdullah berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi projek Nusuk Kopi yang dibangunkan hasil sumbangan zakat berjumlah RM277,000 daripada Maybank Islamic Berhad.
Menurutnya, seramai 20 penuntut asnaf daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan serta Fakulti Perubatan Veterinar dipilih menyertai program berkonsep Living Lab bagi melahirkan usahawan sejak di bangku universiti.
“Selama ini mereka menerima bantuan secara langsung seperti zakat dan bantuan kewangan, namun kali ini kami mahu menyediakan platform supaya mereka belajar sambil bekerja serta memperoleh pendapatan sendiri.
“Mereka dilatih menjadi barista, mempelajari penyediaan pastri, pengurusan pembelian bahan mentah, operasi harian kafe, pengurusan kewangan dan kaedah menjalankan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Nusuk Kopi di Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.
Prof Dr Arham berkata, sepanjang enam bulan projek rintis itu dilaksanakan, Nusuk Kopi berjaya merekodkan jualan melebihi RM20,000 dengan keuntungan hampir RM10,000.
Katanya, keuntungan itu turut dikongsi dengan pelajar menerusi skim perkongsian keuntungan selain mereka menerima elaun sepanjang terlibat mengendalikan operasi kafe berkenaan.
“Objektif utama kami bukan sekadar memastikan mereka memperoleh pendapatan ketika belajar, tetapi melahirkan graduan yang mampu membuka kafe atau perniagaan sendiri selepas tamat pengajian.
“Kami mahu lebih ramai graduan yang mampu mencipta peluang pekerjaan, bukan hanya mencari pekerjaan,” katanya.
Menurut beliau, ketika ini antara 10 hingga 15 peratus graduan UMK menceburi bidang keusahawanan selepas menamatkan pengajian, iaitu lebih tinggi berbanding kebanyakan institusi pengajian tinggi lain.
Katanya, menerusi pelan UMK30 pula, universiti itu menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 jutawan dalam kalangan graduannya menjelang 2030 melalui pembangunan ekosistem keusahawanan yang lebih tersusun.
“Harapan kami, lima tahun dari sekarang peserta Nusuk Kopi dapat membuka kafe sendiri sama ada menggunakan jenama Nusuk Kopi atau jenama masing-masing.
“Itulah ukuran sebenar kejayaan program ini kerana kami bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membina keupayaan mereka menjadi usahawan yang mampu berdikari,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Prof Dr Arham berkata, lebih 70 peratus daripada kira-kira 15,000 penuntut UMK terdiri daripada golongan asnaf yang menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk zakat, pembayaran yuran, komputer riba, sewa rumah dan elaun hasil kerjasama dengan institusi kewangan serta rakan industri.
Menurutnya, kerjasama UMK dengan Maybank dan Maybank Islamic telah berlangsung sejak sekian lama menerusi pelbagai inisiatif termasuk dana zakat wakalah, program pembangunan komuniti dan pembangunan keusahawanan pelajar.
Sementara itu, Pengarah Wilayah Pengedaran Komuniti, Perkhidmatan Kewangan Komuniti bagi Pahang, Kelantan dan Terengganu, Ahmad Bashir Azahari berkata, Maybank Islamic Berhad menyalurkan dana bagi menjayakan pembangunan Nusuk Kopi sebagai usaha memperkasa pelajar asnaf menerusi pendidikan dan keusahawanan.
“Kerjasama seumpama ini dengan UMK akan diteruskan menerusi lebih banyak program berimpak tinggi bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar asnaf, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka secara mampan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

