Faisal Halim cetus keterujaan murid SK Bukit Jelutong

SHAH ALAM – Kehadiran pemain Selangor FC dan pasukan kebangsaan Malaysia, Faisal Halim mencuri perhatian apabila beliau memeriahkan Kejohanan Interclass Piala PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong 2026, pada Sabtu.
Kehadiran pemain yang lebih dikenali sebagai Mickey itu di Space U8, Bukit Jelutong, menyaksikan murid, guru dan ibu bapa mengambil peluang untuk mendekati serta bergambar bersama bintang bola sepak negara berkenaan.
Malah, sambutan luar biasa daripada warga sekolah menyebabkan perlawanan bola sepak terpaksa ditangguhkan seketika bagi memberi ruang kepada mereka bertemu pemain kesayangan masing-masing.
Penyelaras Kejohanan, Nik Amirul Asraff Nik Aman berkata, kesudian Faisal meluangkan masa bersama warga sekolah memberikan pengalaman cukup bermakna, khususnya kepada murid yang menjadikan beliau sebagai idola dalam sukan bola sepak.
Menurutnya, sikap mesra dan layanan baik pemain itu turut mencetuskan keterujaan dalam kalangan murid yang berpeluang berinteraksi secara dekat dengannya.
“Kehadiran Faisal bukan sahaja memeriahkan kejohanan, malah memberikan inspirasi kepada murid untuk terus meminati sukan bola sepak dan berusaha mengembangkan bakat masing-masing.

“Kesudian beliau meluangkan masa bersama warga sekolah merupakan pengalaman yang cukup bermakna buat murid-murid,” katanya.
Dato’ Setia Pahlawan Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah Tengku Besar Tengku Kamil Ismail telah hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Kejohanan edisi ketiga itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.
Turut hadir Guru Besar SK Bukit Jelutong, Mohamad Fadzli Abdul Rahman dan Yang Dipertua PIBG, Khairi Sulaiman
Nik Amirul berkata, kejohanan tahunan itu dianjurkan selepas murid selesai menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sebagai pengisian aktiviti bermanfaat sebelum berakhirnya sesi persekolahan.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan bukan sekadar bertujuan mencungkil bakat murid dalam bidang sukan, malah menjadi platform membina keyakinan diri, disiplin, semangat berpasukan dan nilai kesukanan.
Kejohanan yang berlangsung pada 14 November itu mempertandingkan tiga acara utama iaitu bola sepak, bola jaring dan catur dengan penyertaan murid bermula dari prasekolah hingga Tahun Enam.
“Selain pertandingan antara kelas, acara bola sepak turut menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan guru dengan pasukan bapa, manakala bola jaring menemukan pasukan ibu dengan pasukan guru.
“Pertandingan catur pula memberi peluang kepada murid mengasah kemahiran berfikir secara strategik, meningkatkan daya tumpuan dan membina keyakinan dalam membuat keputusan,” katanya.
Bagi memeriahkan lagi kejohanan, pelbagai aktiviti berbentuk karnival turut dianjurkan termasuk jualan gerai, Soopa Doopa, rumah hantu, pertandingan permainan PlayStation dan aktiviti memancing ikan.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran kejohanan itu hasil kerjasama erat pihak pentadbir sekolah, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta jawatankuasa pelaksana.

Katanya, program berkenaan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform melahirkan generasi yang aktif, berdaya saing dan mempunyai sahsiah terpuji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
