Jerebu rentas sempadan: Prabowo mohon maaf kepada Malaysia dan Singapura

MANILA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Singapura dan Malaysia susulan kejadian jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada akebakaran hutan dan tanah di negara seberang.
Menurut Sekretariat Presiden, Prabowo menyampaikan permohonan maaf itu pada lewat Ahad bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia selain memberi jaminan kepada pemimpin serantau bahawa segala usaha telah digerakkan bagi menangani krisis tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan selepas hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-49 di Manila menyebut kebakaran yang berlarutan hampir empat bulan itu mengakibatkan jerebu toksik sehingga menjejaskan penduduk di Singapura dan Malaysia.
Prabowo menegaskan pemerintah tidak akan berkompromi dengan syarikat yang terbabit dalam kebakaran hutan malah pelbagai tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap firma yang disyaki bertanggungjawab.
“Kami telah menarik balik 17 konsesi syarikat. Sebanyak 26 firma juga sedang disiasat dan 11 daripadanya telah didakwa. Sebanyak 23 lagi syarikat bakal didakwa. Secara keseluruhan, sebanyak 104 syarikat kini dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Ketika berucap kepada pemimpin negara anggota ASEAN, Prabowo turut memaklumkan seramai 71,000 petugas telah dikerahkan untuk operasi memadam kebakaran, namun usaha itu meragut nyawa 16 anggota bomba selain ramai yang mengalami kecederaan. Selain itu, dua helikopter juga terlibat nahas.
Prabowo menegaskan Indonesia perlu mengubah pendekatan dalam menangani kebakaran hutan dan tanah dengan beralih daripada tumpuan terhadap operasi pemadaman serta mitigasi kepada langkah pencegahan yang lebih menyeluruh dan sistematik.
Sehubungan itu, kerajaan Indonesia merancang menubuhkan sebuah agensi baharu selain melaksanakan beberapa program bagi memperkukuh usaha mencegah kebakaran hutan dan tanah pada masa hadapan.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Singapura dan Indonesia pada bulan lalu bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas bersama bagi menyiasat syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran berskala besar itu.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong turut mencadangkan supaya pasukan petugas itu diperluaskan menjadi platform perkongsian maklumat dan bukti di peringkat ASEAN bagi membolehkan negara anggota bekerjasama mengambil tindakan terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran dan jerebu rentas sempadan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

