Bekas Presiden Colombia disiasat dakwaan tukar kontrak kerajaan dengan hubungan seks

BOGOTA – Bekas Presiden Colombia, Gustavo Petro berdepan siasatan pihak berkuasa selepas seorang wanita mendakwa beliau menawarkan kontrak kerajaan kepada wanita sebagai pertukaran untuk mendapatkan hubungan seksual ketika memegang jawatan tertinggi negara itu.
Dakwaan mengejutkan itu dikemukakan seorang bekas kontraktor kerajaan, Deicy Jiménez, 26, yang mendakwa dirinya antara wanita yang menerima kontrak awam sebagai balasan kepada hubungan intim dengan Petro.
Lebih mengejutkan, Jiménez mendakwa terdapat antara 30 hingga 40 wanita lain yang turut terlibat dalam rangkaian berkenaan.
Menurut laporan media antarabangsa, dakwaan itu mendorong Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pemeriksa Colombia membuka siasatan bagi meneliti kemungkinan berlaku salah guna kuasa serta penyelewengan sumber awam.
Mahkamah Agung Colombia turut mengambil maklum kes berkenaan selepas aduan rasmi dikemukakan terhadap bekas pemimpin itu.
Jiménez mendakwa beliau memperoleh beberapa kontrak dengan institusi kerajaan termasuk Senat, Kementerian Dalam Negeri dan badan penyeliaan keselamatan ketika Petro menjadi presiden antara 2022 hingga Ogos 2026.
Rekod pangkalan data rasmi kontrak kerajaan Colombia, SECOP, dilaporkan mengesahkan kewujudan 10 kontrak atas nama wanita itu sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, kewujudan kontrak tersebut belum membuktikan dakwaan bahawa ia diberikan sebagai pertukaran untuk hubungan seksual.
Kontroversi itu semakin memuncak apabila Jiménez pada 5 November lalu menerbitkan sebuah video intim yang memaparkan dirinya bersama Petro sebagai sebahagian daripada bukti yang didakwanya menyokong pengakuan berkenaan.
Video itu memperlihatkan suara Petro serta sebahagian wajah kedua-dua individu sebelum mereka dilihat bercium pada penghujung rakaman.
Bagaimanapun, tarikh rakaman tersebut dibuat masih belum dapat dipastikan, termasuk sama ada ia dirakam sebelum, semasa atau selepas Petro memegang jawatan presiden.
Petro menafikan sekeras-kerasnya dakwaan menggunakan kontrak kerajaan untuk mendapatkan layanan seksual.
Beliau menegaskan pelantikan wanita yang bekerja dalam pentadbirannya dibuat berdasarkan kelayakan dan kemampuan masing-masing, selain menyifatkan tuduhan itu sebagai bermotifkan politik.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Jiménez sebelum ini menarik diri daripada kes berkenaan selepas mendakwa menerima ancaman keselamatan, manakala pengganti beliau menyatakan anak guamnya turut memerlukan perlindungan.
Kes itu kini menjadi perhatian masyarakat Colombia kerana membabitkan persoalan integriti institusi kerajaan, kemungkinan penyalahgunaan wang pembayar cukai serta kedudukan wanita yang didakwa menjadi mangsa eksploitasi kuasa.
Bagaimanapun, Petro belum didapati bersalah dan dakwaan terhadapnya masih dalam proses siasatan pihak berkuasa.
Siasatan dijangka meneliti hubungan antara kontrak kerajaan yang diberikan, pihak yang meluluskan pelantikan serta sama ada terdapat unsur pertukaran kepentingan peribadi menggunakan kedudukan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
