Merab rayu pihak berkuasa UAE bebaskan sepupu Khabib

MERAB Dvalishvili merayu kepada pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) supaya membebaskan Usman Nurmagomedov dan lima rakannya yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan susulan insiden pergaduhan di sebuah hotel di Abu Dhabi.
Rayuan itu dibuat ketika Merab ditemu bual selepas diumumkan sebagai pemenang pada kejohanan Real American Freestyle (RAF) di Abu Dhabi, dengan petarung Georgia itu menggunakan peluang berkenaan untuk meminta pihak berkuasa mempertimbangkan nasib kumpulan terbabit.
"Tolonglah bebaskan mereka. Kami hanya petarung," katanya menerusi mikrofon sambil merayu agar Usman dan rakan-rakannya diberikan pengampunan.
Usman, sepupu legenda UFC, Khabib Nurmagomedov bersama lima rakannya sebelum ini dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Jenayah Abu Dhabi selepas didapati terbabit dalam pergaduhan yang mencetuskan perhatian meluas di media sosial.
Insiden itu berlaku apabila Usman menghampiri Merab dari belakang sebelum menamparnya sehingga mencetuskan pergelutan membabitkan beberapa individu di lobi hotel berkenaan.
Bagaimanapun, Merab mengambil pendirian untuk tidak memanjangkan pertikaian itu dan menyatakan hasrat supaya semua pihak berdamai, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Dalam perkembangan sama, Merab dan rakan senegaranya, Saba Lazishvili yang turut terbabit dalam insiden berkenaan dikenakan denda 50,000 dirham UAE setiap seorang sebelum dibebaskan.
Sementara itu, Usman dan lima rakannya turut dikenakan denda 300,000 dirham UAE setiap seorang selain hukuman penjara berkenaan serta perintah pengusiran selepas menjalani hukuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

