Terima kasih Lans Koperal Theirry Rodger, jasamu tidak ternilai

Tangan kanan seorang anggota polis yang terputus ditetak penjenayah warga asing berjaya disambung semula menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.
Tangan kanan seorang anggota polis yang terputus ditetak penjenayah warga asing berjaya disambung semula menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.
A
A
A

BAHAGIAN Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) mungkin tidak sepopular unit lain seperti Pasukan Gerakan Khas (PGK), Unit Tindakhas (UTK), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin yang sering mendapat perhatian menerusi operasi berisiko tinggi.

Bagaimanapun, peranan anggota unit ini, khususnya dalam rondaan pencegahan jenayah menerusi Unit Kereta Peronda (MPV), tidak kurang penting dalam memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.

Setiap hari, mereka turun ke lapangan, menjalankan rondaan dan memantau kawasan berisiko bagi mencegah jenayah.

Tugas yang mungkin kelihatan rutin itu sebenarnya turut mendedahkan mereka kepada pelbagai ancaman, termasuk berdepan penjenayah yang boleh bertindak di luar jangkaan.

Hakikat itu terbukti apabila Lans Koperal Theirry Rodger Fendy, 26, anggota BPJKK Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, cedera parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing ketika menjalankan tugas.

Lebih menyayat hati, serangan itu menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus.

Insiden berkenaan menjadi peringatan bahawa tugas menjaga keselamatan orang ramai bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ketika masyarakat menikmati kehidupan dalam keadaan aman, anggota seperti Theirry terus menjalankan amanah tanpa mengetahui apa yang bakal dihadapi sepanjang bertugas.

Mungkin mereka tidak selalu mendapat perhatian seperti pasukan komando, namun jangan sesekali menganggap tugas anggota MPV atau unit lain kurang penting.

Artikel Berkaitan:

Setiap anggota mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan keselamatan negara dan masyarakat terus terpelihara.

Malangnya, insiden itu turut mengundang komen segelintir pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan polis, termasuk mengapa tidak bertindak lebih awal.

Lebih mengecewakan, ada yang tergamak meninggalkan emoji ketawa ketika seorang anggota sedang menanggung kesakitan akibat serangan berkenaan.

Mudah untuk menjadi pengkritik di sebalik papan kekunci, tetapi pernahkah mereka membayangkan keadaan anggota yang berdepan penyerang bersenjatakan parang?

Dalam situasi genting, anggota perlu membuat keputusan dalam masa singkat dengan mengambil kira ancaman, keselamatan orang awam serta prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika melawat Lans Koperal Theirry Rodger Fendy. Foto PDRM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika melawat Lans Koperal Theirry Rodger Fendy. Foto PDRM

Jangan terlalu mudah menghukum berdasarkan andaian tanpa mengetahui keadaan sebenar.

Justeru, penghargaan wajar diberikan kepada semua anggota keselamatan yang terus melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira waktu dan keadaan, meskipun sedar tugas mereka sentiasa berdepan risiko.

Dalam perkembangan yang cukup melegakan, kejayaan pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyambung semula pergelangan tangan kanan Theirry menerusi pembedahan kompleks selama lapan jam wajar diberikan penghargaan.

Kepakaran, ketelitian dan komitmen pasukan perubatan itu memberikan harapan baharu kepada mangsa untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Syabas kepada seluruh petugas HKL yang bertungkus-lumus menjayakan pembedahan kompleks berkenaan.

Buat Lans Koperal Theirry Rodger Fendy, terima kasih atas pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan.

Semoga terus kuat, dikurniakan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menjalani proses pemulihan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!