Hotspot Bukit Jambul digempur, 11 lelaki warga asing ditahan

103 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan yang mana, 11 daripada mereka ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
103 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan yang mana, 11 daripada mereka ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
A
A
A

GEORGE TOWN – Seramai 11 lelaki warga asing ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dalam operasi bersepadu membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) sekitar Kompleks Bukit Jambul di Jalan Rumbia dan Jalan Tun Dr Awang, di sini pada Khamis.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, operasi bermula jam 6 petang hingga 11 malam itu melibatkan seramai 103 warga asing daripada pelbagai negara diperiksa sebelum kesemua mereka dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) bagi pemeriksaan dokumen secara terperinci.

Menurut MBPP, kesemua 11 individu yang ditahan akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Operasi bersepadu antara MBPP dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi IPDTL itu turut memberi tumpuan kepada pematuhan syarat lesen perniagaan serta tindakan terhadap penggunaan ruang awam secara tidak dibenarkan.

"Operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad itu membabitkan kekuatan 36 pegawai IPDTL, tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia serta 27 anggota MBPP," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MBPP merampas peralatan perniagaan terhadap tiga premis yang dikenal pasti melakukan ketidakpatuhan berkaitan pengendalian perniagaan.
MBPP merampas peralatan perniagaan terhadap tiga premis yang dikenal pasti melakukan ketidakpatuhan berkaitan pengendalian perniagaan.

Tambah MBPP, polis melaksanakan operasi Whitening Black Spot dengan memberi tumpuan kepada pengesanan, penangkapan dan penahanan individu yang disyaki melanggar undang-undang imigresen di kawasan tumpuan perniagaan sekitar Kompleks Membeli-belah Bukit Jambul, khususnya Jalan Rumbia dan Jalan Tun Dr Awang.

"Antara kesalahan yang menjadi perhatian termasuk kegagalan memiliki dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta penyalahgunaan permit kerja, tertakluk kepada hasil pemeriksaan dan siasatan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Dalam operasi sama, MBPP turut memeriksa 10 premis perniagaan di sepanjang kedua-dua jalan berkenaan bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat lesen, mengemukakan dokumen pekerja serta tidak menyalahgunakan ruang awam," ujarnya lagi.

Menurut MBPP, hasil pemeriksaan, tindakan rampasan peralatan perniagaan dilakukan terhadap tiga premis yang dikenal pasti melakukan ketidakpatuhan berkaitan pengendalian perniagaan.

"Sementara itu, tujuh lagi premis yang diperiksa tidak membabitkan sebarang rampasan dalam operasi berkenaan.

"Kesemua peralatan yang dirampas dibawa ke stor penguatkuasaan MBPP untuk tujuan dokumentasi, rekod dan tindakan pelupusan mengikut prosedur ditetapkan.

"Selain pemeriksaan premis, kawalan lalu lintas turut dilaksanakan bagi memastikan pergerakan kenderaan di sekitar lokasi operasi berjalan lancar sepanjang tempoh penguatkuasaan," katanya.

MBPP memaklumkan tindakan penguatkuasaan berkenaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MPPP 1991.

Peniaga turut diingatkan supaya tidak meletakkan barangan, kelengkapan atau peralatan perniagaan sehingga menghalang laluan dan mengganggu penggunaan ruang awam.

Pengendalian serta penyimpanan bahan makanan mentah untuk tujuan jualan juga perlu mematuhi keperluan pelesenan dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menurut MBPP, setiap pengusaha premis bertanggungjawab memastikan aktiviti perniagaan dijalankan mengikut syarat lesen serta peraturan yang berkuat kuasa.

"Kegagalan mematuhi ketetapan tersebut boleh mengundang tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan peralatan perniagaan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

"Kerjasama bersepadu antara MBPP dan PDRM itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing khususnya dalam menangani isu berkaitan imigresen, pematuhan lesen perniagaan, dokumen pekerja dan penggunaan ruang awam," ujarnya.

MBPP turut menegaskan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta tindakan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti perniagaan mematuhi peraturan selain menjamin ruang awam tidak disalahgunakan dan persekitaran bandar kekal teratur serta selamat untuk masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!