Pengebumian besar-besaran di Gaza: 112 mangsa serangan Israel 2023 akhirnya disemadikan

BANDARAYA GAZA - Ribuan penduduk menghadiri satu upacara pengebumian besar-besaran di Bandar Gaza bagi 112 rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah blok kediaman pada November 2023, ketika awal perang Gaza.
Mayat mangsa, yang terdiri daripada anggota dua keluarga besar Abu Sharia dan Hassayna, hanya berjaya ditemukan selepas operasi pencarian dan penggalian selama dua minggu di kawasan runtuhan kejiranan Sabra, Bandaraya Gaza.
Rakaman yang tersebar menunjukkan barisan jenazah yang diselimuti bendera Palestin, dengan sebahagiannya turut dihiasi gambar mangsa sebelum dibawa oleh ahli keluarga untuk dikebumikan.
Upacara itu dilaporkan menjadi antara pengebumian terbesar yang pernah berlangsung di Gaza sejak tercetusnya konflik berkenaan.
"Saya merasakan inilah perasaan yang sepatutnya kami lalui, iaitu kesakitan, kesedihan dan kehilangan," kata seorang waris mangsa, Ali Abu Sharia.
"Selepas berjaya mengeluarkan dan mengebumikan mereka, mungkin sedikit kelegaan dapat dirasai walaupun kesakitan akibat kehilangan masih berterusan."
Menurut senarai mangsa, seramai 44 kanak-kanak, 38 wanita serta tujuh individu kurang upaya terbunuh dalam serangan yang berlaku pada 22 November 2023.
Kedua-dua keluarga terbabit merupakan sebahagian daripada satu klan yang tinggal di kawasan sama.
Serangan itu berlaku ketika Israel melancarkan operasi ketenteraan intensif di Gaza, kira-kira enam minggu selepas serangan yang dipimpin Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan sekitar 1,200 orang dan menyaksikan 251 individu dijadikan tebusan.
Setakat ini, pihak tentera Israel (IDF) belum memberikan maklum balas mengenai sasaran sebenar serangan yang memusnahkan blok kediaman tersebut.
Operasi mengeluarkan mayat dari bawah runtuhan dijalankan oleh Pasukan Pertahanan Awam Gaza dengan sokongan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Selain menyediakan peralatan seperti sarung tangan, penyodok, peralatan keselamatan dan beg mayat, ICRC turut membantu menyewa jentera pengorek bagi mempercepatkan proses pencarian.
Jurucakap ICRC, Patrick Griffiths, berkata walaupun pengesahan kematian bukanlah berita yang ingin diterima oleh mana-mana keluarga, proses itu penting bagi membolehkan waris mengetahui nasib sebenar orang tersayang serta memberikan penghormatan terakhir kepada mereka.
"Bagi keluarga, mengetahui nasib orang tersayang membolehkan mereka berkabung dan meneruskan kehidupan dengan cara mereka sendiri," katanya.
Bulan lalu, media antarabangsa merakam permulaan operasi mencari mangsa di Sabra, dengan sebuah jentolak digunakan untuk mengalihkan runtuhan sebelum kerja mencari dilakukan secara manual oleh pasukan penyelamat.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, berkata bangunan bertingkat yang musnah itu dipercayai menempatkan lebih 180 orang awam ketika serangan berlaku.
"Sebahagian besar penghuni bangunan itu terbunuh. Pada hari kejadian, pasukan penyelamat tidak dapat memasuki kawasan tersebut kerana faktor keselamatan dan keperluan penyelarasan untuk mendapatkan akses," katanya.
Bagi ahli keluarga mangsa, penemuan mayat yang tertimbus selama hampir dua tahun memberikan peluang untuk menyempurnakan proses pengebumian yang tertangguh.
Nahed al-Hassayna, yang kehilangan ramai anggota keluarganya dalam tragedi itu, menunjukkan kepada wartawan beberapa barangan yang ditemui di lokasi kejadian, termasuk beg sekolah dan kasut milik kanak-kanak yang terkorban.
"Kanak-kanak ini, apa kesalahan mereka?" katanya dalam nada pilu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa terselamat, Yousef Abu Sharia, berkata beliau kini menjadi satu-satunya anggota keluarganya yang masih hidup.
"Hari ini saya bercakap sebagai individu yang kehilangan ibu, bapa, bapa saudara, sepupu dan seluruh keluarga saya. Mereka semua terkorban di bawah runtuhan ini," katanya.
Menurut pihak berkuasa Gaza, puluhan lagi mayat dipercayai masih tertimbus di lokasi sama.
Di seluruh Semenanjung Gaza, ribuan individu masih dikategorikan sebagai hilang, dengan sebahagian besar dipercayai berada di bawah timbunan runtuhan akibat serangan udara yang berterusan sepanjang konflik.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa sejak perang bermula, lebih 73,000 penduduk Palestin terbunuh, manakala usaha mencari dan mengenal pasti mangsa masih diteruskan di beberapa kawasan yang musnah teruk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
