Kes saman fitnah Rita Rudaini: Bekas Pengetua MRSM tamat beri keterangan plaintif

KUALA LUMPUR – Keterangan saksi sepina, bekas Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Firdaus Abdul Razak, pada Khamis menamatkan fasa keterangan saksi pihak plaintif dalam perbicaraan saman fitnah terhadap pelakon Rita Rudaini.
Perbicaraan hari kelima itu berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Nixon Kennedy Kumbong, membabitkan saman yang difailkan Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor dan timbalannya, Dr Saidah Harith.
Saman berkenaan difailkan susulan beberapa kenyataan yang didakwa memfitnah kedua-dua plaintif menerusi media sosial dan status WhatsApp antara Jun hingga September 2025.
Antara kenyataan yang dipertikaikan oleh pihak plaintif termasuk dakwaan bahawa mereka bersikap biadab, tidak menghargai ibu bapa pelajar MRSM Sungai Besar serta bongkak.
Perkara tersebut kini menjadi antara isu yang sedang dinilai oleh mahkamah berdasarkan keseluruhan keterangan dan hujahan pihak-pihak.

Dalam prosiding tersebut, Firdaus disoal peguam defendan, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan berhubung pengurusan serta rekod MUAFAKAT MRSM Sungai Besar termasuk sumbangan penghawa dingin bernilai kira-kira RM250,000.
Ketika disoal mengenai rekod kewangan, beliau bersetuju bahawa berdasarkan dokumen yang dikemukakan di mahkamah, tiada catatan menunjukkan wang RM250,000 itu diterima dalam bentuk tunai.
Bagaimanapun, ketika soal balas oleh peguam plaintif, Haris Md Nor, Firdaus menjelaskan urusan perolehan dan pemasangan penghawa dingin berkenaan diuruskan pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pemasangannya selesai ketika beliau masih berkhidmat sebagai pengetua.
Beliau turut menjelaskan jumlah berkenaan ada dilaporkan, namun tidak bersetuju sepenuhnya bahawa minit mesyuarat mengandungi catatan terperinci mengenai kos pemasangan tersebut.
Ketika ditanya sama ada terdapat dokumen khusus yang mengesahkan nilai RM250,000 itu diberikan dalam bentuk barangan dan bukannya wang tunai, Firdaus menjawab tidak pasti.
Beliau bagaimanapun sekali lagi menjelaskan bahawa perolehan berkenaan diuruskan Mara sebelum dipasang di Pusat Islam MRSM Sungai Besar.
Dengan selesainya keterangan Firdaus, pihak defendan dijadualkan memanggil saksi-saksi mereka dalam prosiding seterusnya, manakala Rita Rudaini juga dijangka memberikan keterangan dan disoal balas pada minggu hadapan tertakluk kepada perjalanan mahkamah.
Perbicaraan itu masih berlangsung dan keputusan akan dibuat selepas mahkamah meneliti keseluruhan keterangan, dokumen serta hujahan kedua-dua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

