Guru Pasti jahit PPE untuk petugas HPD

Siti Salina Samaun (kanan) menyerahkan sumbangan PPE yang sudah siap dijahit kepada Wan Nur Amalina di Hospital Port Dickson semalam.
Siti Salina Samaun (kanan) menyerahkan sumbangan PPE yang sudah siap dijahit kepada Wan Nur Amalina di Hospital Port Dickson semalam.
A
A
A

PORT DICKSON - Bagi mengisi masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) daerah Port Dickson menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan di Hospital Port Dickson (HPD).

Menurut Guru Besar Pasti Bandar Springhill, Siti Salina Samaun, pihaknya berjaya menyiapkan lebih 1,200 pelindung kepala dan kira-kira 2,500 pelindung kasut yang masih dalam proses penyerahan.

"Kami ada ramai guru Pasti dan juga Muslimat Pas yang menjadi sukarelawan menjahit PPE ini.

"Kami sedang tunggu bahan untuk dijahit dan dijadikan gaun untuk petugas barisan hadapan ini kerana mereka perlu sentiasa memakai PPE sepanjang penugasan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di daerah ini," katanya.

Tambahnya, pihak HPD akan membekalkan kain untuk dijahit tetapi getah dan benang perlu dibeli sendiri kerana hospital kehabisan bekalan.

Penyampaian barangan PPE berserta pelindung kepala dan kasut diserahkan kepada Pegawai Pemulihan Perubatan (Carakerja) HPD, Wan Nur Amalina Wan Ata di HPD di sini semalam.

"Bagi kami guru Pasti dan Muslimat Pas, ini antara sumbangan kecil yang mampu kami buat untuk sama-sama membantu negara ketika ditimpa Covid-19 seperti ini.

"Kami telah membelanjakan RM400 untuk membeli bahan seperti getah dan benang untuk menyiapkan PPE.

Artikel Berkaitan:

"Pengorbanan mereka (barisan hadapan) lebih besar ertinya berbanding dengan masa dan perbelanjaan yang kami keluarkan kerana mereka bertugas membahayakan nyawa dan risiko yang terpaksa dihadapi," katanya.

Siti Salina berkata, beliau berharap agar penularan wabak Covid-19 ini segera berakhir.

"Bagi saya, ia adalah ujian ALLAH SWT kepada umatnya di seluruh dunia yang terkesan dengan wabak Covid-19 ini.

"Sebagai rakyat saya percaya negara kita akan segera pulih lebih cepat dari jangkaan jika semua orang bekerjasama sepanjang PKP ini dengan duduk di rumah agar rantaian Covid-19 terputus," katanya.