PRN Melaka: Calon BN sasar 85 peratus pengundi Ayer Limau keluar mengundi

MASJID TANAH - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berharap lebih 85 peratus pengundi di kawasan berkenaan keluar menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini.
Penyandang kerusi berkenaan berkata, sasaran itu penting bukan semata-mata untuk menentukan jumlah undi yang bakal diperolehnya, sebaliknya menjadi ukuran lebih tepat terhadap kehendak sebenar rakyat dalam memilih wakil rakyat mereka.
"PRN lalu hanya 60 peratus keliar mengundi. Kalau jumlah pengundi yang keluar kurang, ia akan menjadi satu ukuran yang tidak baik kerana menggambarkan tidak semua pengundi menunaikan tanggungjawab.
"Tetapi apabila ramai keluar mengundi, itulah ukuran tepat bahawa jumlah undi yang diterima mencerminkan kehendak rakyat Ayer Limau," katanya ditanya mengenai persiapan menghadapi hari pengundian PRN Melaka ke-16.
Beliau ditemui selepas program Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau bilik gerakan BN DUN Ayer Limau pada Rabu.
Mengulas persiapan menjelang hari pengundian, Hameed berkata, tumpuan ketika ini diberikan kepada usaha mengemas kini jentera selain mendekati lebih ramai pengundi termasuk pengundi luar.
Katanya, jumlah pengundi luar di DUN Ayer Limau kini meningkat kepada hampir 2,000 orang berbanding kira-kira 500 orang sebelum ini, susulan kelayakan mengundi diperluaskan kepada golongan berusia 18 tahun.
"Kebanyakan mereka adalah anak-anak yang sedang melanjutkan pengajian atau baru memulakan kerjaya di luar kawasan.
"Insya-ALLAH, pada malam sebelum pilihan raya, semua pengundi luar kita akan berkumpul melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing," katanya.
PRN Melaka kali ini menyaksikan Hameed berdepan saingan satu lawan satu dengan calon PH-PKR, Mejar (B) Jaini Dimon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

