[VIDEO] Tahanan rumah: Undang-undang perlu adil, bukan hak istimewa - Mohamad Sabu
JASIN - [DIKEMAS KINI] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bersedia menyerahkan keseluruhan gaji menterinya kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi menggerakkan usaha memperjuangkan pelaksanaan mekanisme tahanan di rumah untuk semua banduan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, sumbangan itu melibatkan keseluruhan gaji bulanannya berjumlah RM11,900 sehingga pembubaran Parlimen bagi penggal ini.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu NGO, pengamal undang-undang dan masyarakat sivil mewujudkan satu mekanisme perundangan yang membolehkan banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan baki separuh lagi melalui tahanan di rumah.
"Berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara khususnya kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan. undang-undang.
"Saya ingin menegaskan bahawa keadilan dalam negara ini mesti ditegakkan secara saksama tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik mahupun latar belakang seseorang," katanya dalam sidang akhbar khas di Merlimau pada Rabu.
Beliau berkata, cadangan itu bukan bertujuan memberikan keistimewaan kepada mana-mana individu, sebaliknya mahu memastikan prinsip kesaksamaan undang-undang terpakai kepada semua rakyat tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik atau latar belakang.

Menurutnya lagi, mekanisme berkenaan perlu dilaksanakan menerusi satu akta atau peruntukan undang-undang yang jelas supaya setiap banduan layak menikmati kemudahan sama berdasarkan peraturan yang adil dan telus.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah atau pertikaian peribadi dengan Datuk Seri Najib Razak mahupun anggota keluarganya.
"Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada semua orang. Biarlah perjuangan ini sampai ke peringkat ada akta yang mengatakan penjara tiga tahun dan baki melalui tahanan di rumah," katanya.
Tambah Mohamad, beliau menyerahkan kepada pengamal undang-undang termasuk Majlis Peguam, persatuan peguam syarie dan NGO berkaitan untuk meneliti kaedah terbaik merealisasikan cadangan tersebut.
Katanya, beliau belum mengadakan pertemuan dengan mana-mana NGO berhubung perkara itu dan sidang akhbar berkenaan merupakan gesaan awal bagi menggerakkan usaha berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
