Kawasan terjejas kebakaran di Indonesia kini diancam banjir

Keadaan banjir dahsyat di beberapa perkampungan yang tular di media sosial.
Keadaan banjir dahsyat di beberapa perkampungan yang tular di media sosial.
A
A
A

JAKARTA – Selepas berbulan-bulan bergelut dengan kebakaran hutan dan tanah gambut yang dahsyat, beberapa kawasan di Indonesia kini berdepan ancaman banjir susulan kerosakan landskap yang meningkatkan risiko bencana baharu menjelang musim hujan.

Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) pada Selasa menggesa penduduk di seluruh negara supaya meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana hidrometeorologi termasuk banjir kilat dan tanah runtuh.

Hujan berterusan yang melanda Kabupaten Lumajang, wilayah Jawa Timur mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa desa hingga menjejaskan 1,417 keluarga serta menyebabkan gangguan akses jalan raya dan bekalan elektrik.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Kebencanaan BNPB, Berton Panjaitan berkata, hujan lebat sejak 1 November menyebabkan beberapa sungai melimpah dan benteng pecah, sekali gus mencetuskan banjir serta tanah runtuh di lapan kampung di tiga kecamatan di kabupaten berkenaan.

"Pemantauan sedang giat dilakukan termasuk di kawasan terpencil bagi mengesan sebarang kemungkinan bencana susulan," ujarnya.

Di daerah lain di Jawa Timur, banjir turut menjejaskan 43 keluarga di lima desa di Kabupaten Malang pada Isnin dan menyebabkan akses ke jambatan serta laluan utama terputus.

Bagaimanapun, keadaan kembali pulih apabila banjir dilaporkan sudah mula surut.

Hujan berselang-seli sejak beberapa hari kebelakangan ini turut membantu memadamkan kebakaran di kawasan titik panas utama di Kalimantan dan Sumatera, sekali gus mengurangkan jerebu toksik secara beransur-ansur. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!