Rusia, Ukraine kembali berunding di Abu Dhabi

WASHINGTON – Selepas berbulan-bulan rundingan buntu, Rusia dan Ukraine dijadual mengadakan pertemuan selama dua hari di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bermula Selasa bagi mencari jalan menamatkan perang yang sudah berlarutan lebih empat tahun.
Rundingan tajaan Amerika Syarikat (AS) itu merupakan pertemuan pertama wakil kedua-dua negara sejak Februari lalu, ketika Presiden Donald Trump memberi bayangan bahawa perjanjian damai lebih menyeluruh mungkin dicapai, termasuk membabitkan aspek keselamatan Eropah.
Bagaimanapun, usaha diplomatik terbaharu itu masih berdepan halangan besar apabila Moscow terus bertegas mahu Ukraine menyerahkan keseluruhan wilayah Donbas di timur negara itu, sedangkan Kyiv menolak sebarang tuntutan menyerahkan kawasan yang dipertahankan tenteranya.
Kuasa Eropah termasuk Perancis, Jerman dan Suruhanjaya Eropah turut menghantar wakil ke Abu Dhabi, namun Rusia sudah menyatakan bantahan terhadap penyertaan mereka dalam rundingan utama.
Sebaliknya, delegasi Ukraine akan mengadakan pertemuan berasingan dengan sekutu Eropah bagi memberikan taklimat mengenai perkembangan perbincangan berkenaan.
Pegawai Ukraine memaklumkan rundingan dijadual bermula kira-kira jam 6.30 pagi GMT pada Selasa.
Ketua delegasi Ukraine, Rustem Umerov berkata, Kyiv sedang berusaha memastikan Eropah turut menjadi sebahagian daripada proses diplomatik berkenaan.
"Kami melakukan segala-galanya untuk memastikan Eropah menjadi peserta dalam proses diplomatik ini," katanya pada Isnin.
Delegasi Rusia sekali lagi diketuai pembantu Kremlin, Vladimir Medinsky sebagai ketua perunding.
Turut menyertai delegasi itu ialah Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov yang pertama kali terlibat dalam rundingan berkenaan serta pegawai kanan tentera, Yuri Zhigarlovsky. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
