Bakar bapa hidup-hidup kerana tidak puas hati bekas isteri kahwin lagi

Tangkap layar kejadian seorang anak membakar bapanya di Medan. Foto Tribun Medan/Istimewa
Tangkap layar kejadian seorang anak membakar bapanya di Medan. Foto Tribun Medan/Istimewa
A
A
A

JAKARTA - Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila tergamak membakar bapanya sendiri selepas didakwa sukar mengawal emosi berikutan bekas isterinya berkahwin semula dengan lelaki lain.

Dalam kejadian di Jalan Pinang Baris, Gang Wakaf II, Medan, Sumatera Utara pada Jumaat malam, mangsa yang dikenali sebagai YL, 66, berjaya diselamatkan sebelum api merebak ke seluruh tubuhnya.

Bagaimanapun, mangsa mengalami kecederaan akibat melecur pada bahagian tangan dan kaki susulan kejadian itu.

Suspek, EP, 39, dikatakan bertindak demikian selepas berdepan tekanan emosi akibat perpisahan dengan isterinya.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Medan Sunggal, Iptu Herman Sentosa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam waktu tempatan itu.

“Maklumat awal mendapati suspek mengalami tekanan selepas bekas isterinya berkahwin semula.

"Keadaan itu menyebabkan dia mudah hilang kawalan sehingga bapanya menjadi sasaran,” katanya seperti dipetik media tempatan pada Sabtu.

Menurut Herman, suspek kini ditahan di Balai Polis Medan Sunggal bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan belum menetapkan status suspek sebagai tahanan reman kerana belum menerima laporan rasmi daripada mangsa atau ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Suspek masih ditahan bagi membantu siasatan. Setakat ini, belum ada laporan polis dibuat oleh mangsa atau ahli keluarga,” katanya.

Sebelum kejadian itu, suspek dilaporkan sempat ditahan penduduk setempat selepas kejadian berlaku dan hampir menjadi sasaran amukan orang ramai.

Kes berkenaan kini disiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk tindakan suspek yang menyebabkan bapanya mengalami kecederaan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!