Kanak-kanak 9 tahun meninggal dunia selepas rebah

NEW DELHI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah di dalam kelasnya di Lovely Heritage School, Mayur Vihar Phase 2, New Delhi pada Rabu.
Murid tahun tiga itu dilaporkan baru kembali ke kelas selepas mengikuti sesi pendidikan jasmani.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa berjalan menaiki tangga bersama beberapa murid lain sebelum masuk ke kelas sambil meletakkan kedua-dua tangan di bahagian pinggang sebelum jatuh pengsan.
Seorang guru segera mendapatkan mangsa dan cuba memberikan bantuan awal sebelum meminta bantuan lanjut.
Kakitangan sekolah kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke sebuah pusat rawatan berhampiran, namun pihak hospital dilaporkan tidak menerimanya. Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital lain di Nirman Vihar, namun doktor mengesahkan dia telah meninggal dunia.
Pihak sekolah memaklumkan mangsa mengalami serangan jantung. Tetapi, keluarganya mempersoalkan tindakan pihak sekolah dalam memberikan bantuan kecemasan.
Mereka turut mendakwa mangsa tidak diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dengan segera.
Rakaman CCTV lain juga menunjukkan guru kelas bergegas mendapatkan mangsa sejurus dia terjatuh sebelum mengangkatnya untuk didudukkan di atas kerusi. Bagaimanapun, mangsa dilihat tidak sedarkan diri.
Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk menjalani bedah siasat manakala rakaman CCTV sekolah turut disita bagi membantu siasatan polis.
Punca sebenar kematian masih belum diketahui kerana menunggu pengesahan menerusi pemeriksaan perubatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

