UniMAP hasilkan mesin nyah kuman untuk JBPM Perlis

Seorang anggota bomba menunjukkan demonstrasi penggunaan mesin yang dihasilkan oleh penyelidik UniMAP.
Seorang anggota bomba menunjukkan demonstrasi penggunaan mesin yang dihasilkan oleh penyelidik UniMAP.
A
A
A

KANGAR – Penyelidik Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menghasilkan mesin disinfeksi khusus untuk proses penyahkuman bangunan dan jalan bagi kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis.

Hasil kerjasama kedua-dua pihak serta pasukan jurutera MoTECH berjaya menghasilkan peralatan yang diberi nama Seri Perlis C19 Tactical Mobile Mass Disinfectant Device (SP-C19 TMMD).

Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, projek tersebut dimulakan awal April lalu susulan permintaan JBPM yang ingin mencari solusi kepada penggunaan alat manual bagi proses tersebut yang bukan sahaja mengambil masa lama malah menggunakan tenaga manusia yang ramai.

Katanya, selain itu penggunaan alat sedia ada juga mempunyai kapasiti pengisian cecair yang terhad mengakibatkan proses pengendalian dan disinfeksi bangunan terbatas.

“Saya dimaklumkan, pihak pengurusan taktikal jabatan bomba telah berbincang dengan MoTECH UniMAP untuk penentuan spesifikasi alat tersebut," katanya pada Majlis Penyerahan SP-C19 TMMD oleh UniMAP kepada JBPM negeri Perlis di sini hari ini.

Dr Shahriman (kanan) memberi penerangan kepada anggota bomba tentang SP-C19 TMMD.
Dr Shahriman (kanan) memberi penerangan kepada anggota bomba tentang SP-C19 TMMD.

Menurutnya, penghasilan alat berkenaan telah melalui proses pemeriksaan dan operasional termasuk simulasi dan pemeriksaan lapangan di Pasar Besar Kangar 21 April lalu sebelum dilancarkan semalam.

"Hasil pemeriksaan lapangan berjaya membuktikan alat ini berjaya mengurangkan kos penggunaan tenaga manusia sebanyak 60 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus MoTECH UniMAP, Profesor Madya Dr Shahriman Abu Bakar berkata, SP-C19 TMMD yang boleh dikategorikan sebagai alat pertama di Malaysia untuk kegunaan jabatan bomba itu mempunyai pelbagai kelebihan antaranya mempunyai dwifungsi iaitu boleh diletakkan di atas trak untuk kegunaan luaran dan mempunyai roda untuk digerakkan di dalam bangunan oleh anggota.

"Ia turut mempunyai tiga corong yang boleh dilaraskan secara menegak dan melintang dan digunakan untuk pelarasan bagi kegunaan disinfeksi di lantai, dinding dan siling bangunan dengan setiap satunya boleh dipasang atau ditutup mengikut keperluan operasi dan keperluan.

“Alat ini mempunyai dua punca kuasa iaitu kegunaan petrol generator 3300 watt yang boleh disambung terus dengan kuasa elektrik bangunan yang memudahkan ia beroperasi di mana-mana sahaja lokasi yang mempunyai punca elektrik.

“Selain itu SP-C19 TMMD juga mempunyai kapasiti tong sebanyak 150 liter dan boleh beroperasi selama sejam pada keupayaan maksimum operasi menggunakan pam. Pihak MoTECH juga membuka peluang kepada agensi lain yang berminat untuk mendapatkan inovasi ini,” katanya.

MoTECH UniMAP yang mempunyai kepakaran dalam aspek permotoran sebelum ini berjaya mencipta motosikal retro yang siap untuk dikomersilkan di Malaysia bersama UniMAP Modenas Reseach Center.