Fomca bimbang monopoli tiket bas sekat pilihan pengguna

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan digesa memastikan pelaksanaan sistem baharu penjualan tiket bas ekspres tidak mewujudkan monopoli yang boleh mengehadkan pilihan pengguna dan menjejaskan persaingan harga antara platform tempahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr Saravanan Thambirajah berkata, pemberian hak eksklusif penjualan tiket kepada terminal bas berlesen berpotensi mengurangkan persaingan dalam industri pengangkutan awam.
Menurutnya, usaha memperkemas sistem berkenaan sepatutnya mengutamakan ketelusan transaksi, perlindungan penumpang dan pengurusan aduan tanpa memberikan penguasaan pasaran kepada pihak tertentu.
“Bagaimanapun, Fomca berpandangan bahawa pemberian hak eksklusif penjualan tiket kepada terminal bas berlesen berpotensi mewujudkan amalan monopoli, mengurangkan persaingan serta mengehadkan pilihan pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Saravanan menggariskan lima perkara utama yang mesti diberi perhatian kerajaan bagi memastikan perubahan sistem oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak mengorbankan kepentingan penumpang.
Beliau berkata, pengguna mesti terus diberikan kebebasan membandingkan tambang, promosi, jadual perjalanan dan perkhidmatan daripada pelbagai pengendali bas melalui platform tempahan pilihan masing-masing.
Menurutnya, persaingan harga membolehkan penumpang mendapatkan tawaran lebih baik, manakala sekatan terhadap saluran pembelian berpotensi menyebabkan mereka kehilangan manfaat tersebut.
“Sekiranya pilihan ini dihadkan, pengguna mungkin kehilangan manfaat persaingan harga,” ujarnya.
Kebimbangan mengenai masa depan platform tempahan seperti Easybook dan redBus turut dibangkitkan pengguna dalam forum Lowyat.NET pada 20 Oktober lalu, termasuk kemungkinan kawalan tambang lebih ketat.
Bagaimanapun, pandangan yang dibangkitkan dalam perbincangan berkenaan tidak semestinya mewakili keseluruhan pengguna bas ekspres.
Mengulas perkara kedua, Saravanan mengingatkan kerajaan supaya memastikan pelaksanaan sistem baharu tidak menyebabkan peningkatan kos perjalanan yang akhirnya membebankan penumpang.
Beliau merujuk kepada pekeliling APAD yang menetapkan caj komersial baharu bagi perkhidmatan platform digital dikenakan kepada pengusaha bas dan bukannya penumpang secara langsung.
Menurutnya, kerajaan mesti memastikan kos berkenaan tidak dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tambang atau caj tambahan sehingga menghakis manfaat perubahan sistem.
Bagi perkara ketiga, beliau berpandangan, perlindungan pengguna tidak semestinya memerlukan pemberian hak eksklusif penjualan tiket kepada terminal bas berlesen.
Sebaliknya, matlamat itu masih boleh dicapai menerusi sistem pelesenan dan pemantauan yang membolehkan pelbagai platform tempahan beroperasi serta bersaing secara adil.
Saravanan turut menekankan kepentingan memberikan maklumat jelas kepada pengguna berhubung perubahan sistem terutama mengenai saluran pembelian tiket yang dibenarkan dan kesahan tempahan sedia ada.
Menurutnya, penumpang juga mesti dimaklumkan mengenai prosedur penggunaan kod QR untuk menaiki bas serta saluran bantuan sekiranya menghadapi masalah ketika melakukan perjalanan.
Bagi perkara kelima, Fomca mahu mekanisme aduan dan pembayaran balik diperkukuh supaya pengguna tidak berdepan kesukaran mendapatkan penyelesaian apabila berlaku gangguan perjalanan atau masalah transaksi.
“Pengguna tidak sepatutnya dihimpit antara pengendali bas, pengurusan terminal dan platform tempahan apabila berlaku masalah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, APAD pada Khamis memaklumkan peraturan penjualan tiket bas ekspres melalui terminal berlesen dan platform dalam talian pengusaha berdaftar akan dilaksanakan secara berperingkat.
Peraturan yang pada asalnya dijadual berkuat kuasa pada 1 November lalu itu membolehkan industri membuat persediaan sebelum pelaksanaan sepenuhnya.
Menurut APAD, orang ramai masih boleh membeli tiket melalui platform atau kaedah sedia ada sepanjang tempoh peralihan sehingga dimaklumkan kelak.
Agensi itu turut menjelaskan tarikh bagi setiap fasa pelaksanaan akan diumumkan kemudian, manakala Kementerian Pengangkutan dan APAD sedang memantau tahap kesediaan industri.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan kerajaan mahu memperkukuh kawal selia penjualan tiket dan pengurusan terminal, termasuk memantau caj serta komisen supaya tidak melebihi kadar sedia ada.
Pengusaha bas yang mempunyai laman web tempahan sendiri juga dibenarkan mengintegrasikan sistem berkenaan dengan sistem terminal.
Ketika melawat Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 3 Februari lalu, Anthony turut menjelaskan bahawa tiket yang dibeli menerusi agensi pelancongan dalam talian (OTA) mesti disertakan kod QR.
Langkah itu bertujuan membolehkan penumpang terus memasuki ruang pelepasan tanpa beratur semula di kaunter.
Bagaimanapun, panduan BusOnlineTicket menjelaskan penggunaan kod QR bergantung kepada terminal dan pengusaha bas, manakala penumpang boleh mendapatkan bantuan di kaunter sekiranya menghadapi masalah imbasan atau perubahan tempahan.
Terminal Management and Services Sdn Bhd (TMAS), selaku pengendali TBS, berpandangan, aturan baharu berkenaan dapat meningkatkan ketelusan transaksi serta memudahkan pemantauan harga tiket dan pematuhan terhadap tambang diluluskan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl, menggesa caj wajib didedahkan sebelum tempahan dibuat.
Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah turut menyokong penggunaan tiket elektronik dan kod QR bagi mempercepat urusan penumpang, namun mahu kaunter berpetugas dikekalkan untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pengguna yang memerlukan bantuan.
Fomca turut menggesa kerajaan mengadakan libat urus menyeluruh dengan pengusaha bas, penyedia platform dan persatuan pengguna, selain menilai pelaksanaan dasar secara berkala.
Ia selari dengan gesaan Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, bahawa persatuannya tidak dirujuk sebelum ketetapan dibuat.
“Pada pandangan FOMCA, pemodenan sistem pengangkutan awam perlu menggalakkan persaingan sihat dan bukannya mewujudkan penguasaan pasaran secara eksklusif, kerana prinsip utama FOMCA ialah kerajaan perlu mengawal selia industri tanpa menyekat pilihan pengguna,” ujar Saravanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

