PRN Melaka: Langkah Abang Long 10 km nilai infrastruktur DUN Duyong

MELAKA - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Poo Long Suan akan berjalan sejauh 10 kilometer pada Ahad ini di bawah misi "Langkah Abang Long” untuk menilai laluan pejalan kaki dan infrastruktur di kawasan itu.
Long Suan, 43, yang juga bekas Ahli Majlis Hang Tuah Jaya berkata, misi itu bermula 7 pagi dan melibatkan 10 hentian bermula dari Taman Seri Duyong dan berakhir di Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama, turut disertai Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
"Laluan pejalan kaki antara kemudahan asas dan penting yang digunakan penduduk setiap hari. Kita mahu memastikan laluan itu mempunyai akses yang baik dan selamat digunakan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Bukit Baru di sini hari ini.
Long Suan yang mesra dipanggil "Abang Long” berkata misi itu dijangka mengambil masa kira-kira tiga jam dan mereka juga akan menyantuni penduduk di setiap hentian, sekali gus mendengar masalah, aduan atau pandangan berkaitan pembangunan di DUN itu.
Maklumat yang diperoleh daripada program itu, menurut Long Suan akan digunakan untuk merancang pembangunan infrastruktur baharu atau menaik taraf kemudahan sedia ada serta memajukan DUN Duyong jika beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Long Suan berkata, penduduk Duyong dialu-alukan untuk menyertai misi itu bagi merapatkan hubungan sesama mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 45 peratus penduduk DUN Duyong telah disantuni menerusi pelbagai program turun padang dalam tempoh enam hari kempen PRN Melaka ke-16 dari Sabtu lepas.
"Setakat ini, saya lihat respons penduduk adalah sangat positif dan saya akan bekerja lebih kuat untuk menawan hati pengundi dalam tempoh kempen yang berbaki seminggu ini,” katanya.
Long Suan berkata, pendekatan turun padang bertemu penduduk akan diteruskan pada minggu kedua kempen dengan fokus terhadap beberapa kawasan antaranya Durian Daun, Semabok Perdana, Bukit Godek, Seri Duyong dan Desa Duyong.
DUN Duyong menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Poo dan penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang menang dengan majoriti 200 undi pada PRN Melaka ke-15.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16 manakala pengundian awal pada 10 November. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
