PRN Melaka hambar, pengundi Melaka sudah buat keputusan - Mahdzir

TANGGA BATU - Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilihat hambar dipercayai dipengaruhi pengundi yang sudah membuat keputusan awal terhadap parti pilihan untuk membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkembangan politik sejak beberapa bulan lalu termasuk keputusan PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan turut mempengaruhi kecenderungan pengundi di Melaka.

Menurutnya, kemudahan mendapatkan maklumat menerusi media sosial juga membolehkan rakyat membuat penilaian sendiri terhadap perkembangan politik semasa sebelum menentukan pilihan.
"Saya fikir rakyat Melaka sudah membuat keputusan. Mereka tahu apa yang hendak dilakukan dan perkara ini ada kaitan dengan rentetan apa yang berlaku dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan lalu sehingga sekarang.
"Pada masa ini, dengan adanya media sosial, orang ramai boleh menilai dan membaca pelbagai maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program bertemu pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor bersama calon Barisan Nasional (BN), Datuk Tuminah Kadi pada petang Khamis.
Mengulas suasana kempen yang berlangsung aman, Mahdzir berkata, perkembangan positif itu memperlihatkan amalan politik matang tanpa budaya kebencian, serangan peribadi atau tindakan memburukkan pihak lawan.
“Saya bersetuju dengan pendekatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mahu mengelakkan politik kebencian, tiada politik kata mengata, sebaliknya memberi tumpuan kepada realiti yang ada hari ini.
"Sudah semestinya saya tidak menafikan bahawa kita turut membawa nilai politik yang dipanggil politik identiti. Perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ahli politik di seluruh dunia turut membawa politik identiti masing-masing," katanya.
Sementara itu, mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat Melaka memberi mandat kepada kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan, Mahdzir berkata, keputusan berkenaan terletak sepenuhnya di tangan pengundi.
Menurutnya, BN yang menggunakan lambangnya pada PRN kali ini turut merayu sokongan pengundi kepada gabungan itu serta rakan strategiknya, Perikatan Nasional (PN).
"Kita datang daripada parti BN dan dalam BN ada UMNO. Jadi, kita merayu supaya pengundi memberikan sokongan kepada UMNO dan BN.
"Di Melaka, semua sudah tahu bahawa BN memilih PN sebagai rakan strategik. Jadi, sudah pastinya kita merayu masyarakat memberikan undi kepada BN dan PN, termasuk ahli serta penyokong PN supaya turut menyokong BN," katanya.
Beliau berkata, soal keselarasan kerajaan negeri dan Persekutuan juga merupakan keputusan rakyat, sambil mengambil contoh beberapa negeri yang mempunyai pentadbiran berbeza tetapi masih menerima peruntukan daripada kerajaan pusat.
Mengulas prestasi kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ab Rauf sepanjang tiga tahun lalu, Mahdzir berkata, rakyat mempunyai ruang untuk menilai keupayaan Ketua Menteri itu berdasarkan pencapaian dan cara pentadbiran negeri.
"Rakyat boleh menilai dan memberikan markah terhadap apa yang dilakukannya Ab Rauf sepanjang tiga tahun mengendalikan kerajaan negeri.
"Orang Melaka sahaja yang boleh menilai kerana mereka tahu apa yang beliau lakukan untuk negeri ini," katanya.
Beliau turut memberi bayangan bahawa kerjasama BN dan PN dalam PRN Melaka dibuat berdasarkan pertimbangan serta perkiraan tertentu oleh kepimpinan kedua-dua gabungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

