Keupayaan berkhidmat lebih penting, bukan status anak tempatan - Yadzil

Yadzil
Yadzil
A
A
A

JASIN – Keupayaan seseorang calon untuk berkhidmat kepada rakyat dan mewakili parti yang berpotensi membentuk kerajaan lebih penting berbanding faktor anak tempatan dalam menentukan pilihan wakil rakyat.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, status anak tempatan bukan jaminan seseorang calon mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan baik.

Menurutnya, rakyat perlu menilai kemampuan calon untuk bekerja dan memastikan parti yang diwakilinya mempunyai keupayaan membentuk kerajaan bagi membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan.

“Apabila kita memilih wakil rakyat, kita memilih seseorang yang boleh berkhidmat secara langsung kepada rakyat.

“Kalau seseorang itu anak tempatan tetapi tidak mampu melaksanakan tugas, status tersebut bukan satu kelebihan besar kepada rakyat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendekatan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan faktor anak tempatan sebagai kelebihan untuk meraih sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

Kempen dari rumah ke rumah memberi peluang Yadzil mendekati rakyat lebih dekat. Foto FB Yadzil Yaakub
Kempen dari rumah ke rumah memberi peluang Yadzil mendekati rakyat lebih dekat. Foto FB Yadzil Yaakub

Mohd Yadzil yang sudah menetap di Bemban sejak 2009 berkata, penglibatannya bersama masyarakat setempat membolehkannya memahami pelbagai isu dan keluhan penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Saya bertugas di sini dan berjumpa ramai orang, malah tidak pernah putus bertemu masyarakat di bawah. Banyak keluhan yang ada, tetapi mana yang kita boleh selesaikan, kita selesaikan.

"Saya yakin boleh melaksanakan tugas dengan baik untuk tempoh lima tahun akan datang, sekiranya diberikan mandat,” katanya.

Mengulas gerak kerja kempen, Mohd Yadzil berkata, lebih separuh kawasan di Bemban sudah dilawati sepanjang enam hari pertama kempen, selain lebih 50 aktiviti dan lawatan dilaksanakan.

Katanya, pihaknya turut mengunjungi masjid dan surau serta menyertai pelbagai program masyarakat, selain sudah meliputi kesemua sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Penglibatannya bersama masyarakat setempat membolehkan Mohd Yadzil memahami pelbagai isu dan keluhan penduduk.
Penglibatannya bersama masyarakat setempat membolehkan Mohd Yadzil memahami pelbagai isu dan keluhan penduduk.

Beliau berkata, antara keutamaan yang perlu diberi perhatian di Bemban ialah pembangunan infrastruktur, khususnya rangkaian jalan raya yang perlu ditambah baik bagi menampung peningkatan jumlah trafik.

Menurutnya, kedudukan Bemban yang strategik sebagai laluan transit dari Muar ke kawasan pelancongan di Melaka juga perlu dimanfaatkan bagi merancakkan ekonomi setempat.

Penyandang DUN Bemban itu menegaskan bahawa usaha berkenaan memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan pemilik tanah, termasuk memudahkan urusan serta mengurangkan kerenah birokrasi menerusi pendekatan pusat sehenti.

“Bemban mempunyai banyak tanah terbiar yang akhirnya tidak dapat dibangunkan. Kita perlu ada jawatankuasa yang melibatkan kerajaan negeri dan pemilik tanah untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini.

“Ramai anak muda berhijrah keluar mencari pekerjaan. Jadi, tanah terbiar boleh dibangunkan sebagai sumber ekonomi baharu kepada penduduk,” katanya.

Yadzil (tiga dari kiri) bersama penyokong semasa kempen sekitar Bemban. Foto FB Yadzil Yaakub
Yadzil (tiga dari kiri) bersama penyokong semasa kempen sekitar Bemban. Foto FB Yadzil Yaakub

Selain pembangunan pelancongan, Mohd Yadzil berkata, usaha mengurangkan kos sara hidup dan memperkukuh ekonomi peniaga kecil juga perlu diberi perhatian kerana kuasa beli masyarakat semakin terhad.

Mengulas manifesto bagi penggal kedua, beliau berkata, beberapa isu yang belum diselesaikan perlu terus diberi perhatian, termasuk masalah banjir yang memerlukan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, penyelesaian isu berkenaan tidak boleh dibuat secara bersendirian, sebaliknya memerlukan perbincangan serta penyelarasan antara kedua-dua peringkat kerajaan.

“Masalah seperti banjir bukan perkara mudah untuk diselesaikan, tetapi kita perlu melihat bagaimana masalah yang masih belum selesai boleh ditangani.

“Harapan saya, jika diberi peluang, kita boleh duduk semeja dan mencari penyelesaian bersama kerajaan pusat serta negeri,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini, Mohd Yadzil, 48, bakal berdepan tiga calon lain iaitu Muhammad Rabaie Ab Hamid (Bersatu), Dr Muhammad Solehin Saleh daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan calon Bebas, Abd Halim Said.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!