X Youth #QuranHour, program dinanti-nantikan mahasiswa USIM

Mahasiswa USIM membacakan ikrar al-Quran.
Mahasiswa USIM membacakan ikrar al-Quran.
A
A
A

SEREMBAN - Program Negeri Sembilan Berselawat X Youth #QuranHour yang memasuki edisi keempat penganjurannya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tahun ini terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelajar.

Meskipun cuaca hujan, ia tidak menghalang lebih 500 pelajar menghadiri majlis ilmu berkenaan yang berlangsung sempena Pesta Konvokesyen USIM pada malam Khamis.

Program kali ini membawa tema 'Membentuk Jiwa dan Minda Akhirat' dengan berpandukan Surah al-Muzzammil dan Surah al-Balad.

Wakil rumah ngaji Negeri Sembilan menyampaikan cenderahati kepada Hifdzi Zaim (kanan).
Wakil rumah ngaji Negeri Sembilan menyampaikan cenderahati kepada Hifdzi Zaim (kanan).

Sesi tadabbur ayat daripada kedua-dua surah berkenaan dikendalikan oleh Hifdzi Zaim Zamri, manakala bacaan al-Quran disampaikan dua mahasiswa daripada Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.

Selain itu, program turut diserikan dengan sesi tausiyah oleh Imam Muda Asyraf serta persembahan qasidah daripada kumpulan Soutul Muazzin.

Siti Nurdeeni Alyaa (kiri) dan Akrimi Maswa (kanan).
Siti Nurdeeni Alyaa (kiri) dan Akrimi Maswa (kanan).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelajar USIM, Akrimi Maswa Amran, 22, berkata, program berkenaan sememangnya menjadi antara acara yang dinanti-nantikannya setiap tahun.

"Setiap tahun saya memang tidak pernah terlepas peluang menyertai program ini kerana bagi saya, ia merupakan satu program ilmu yang sangat bermanfaat.

"Saya berharap program ini dapat diteruskan bagi memupuk kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW serta membudayakan amalan berselawat dalam kehidupan," katanya.

Bagi Siti Nurdeeni Alyaa Ahmad Shukri, 23, peluang menyertai majlis selawat seumpama itu tidak mahu dilepaskan memandangkan program seumpamanya jarang dianjurkan.

"Bukan sahaja di USIM, malah jika ada program seperti ini dianjurkan di tempat lain, saya juga akan menyertainya sekiranya berkesempatan.

"Saya seronok dapat berada dalam majlis ilmu sebegini," katanya.

Mahasiswa USIM tidak melepaskan peluang hadir ke Program Negeri Sembilan Berselawat X Youth #QuranHour.
Mahasiswa USIM tidak melepaskan peluang hadir ke Program Negeri Sembilan Berselawat X Youth #QuranHour.

Sementara itu, Nur Aini Syazwa Mohd Ridzuan, 20, berkata, dia teruja kerana berpeluang menyertai program berkenaan buat kali pertama.

Katanya, kehadirannya didorong minat untuk mengikuti pengisian ilmu selain mengambil peluang bertemu Imam Muda Asyraf yang sering diikutinya menerusi ceramah.

"Saya datang kerana mahu bertemu Imam Muda Asyraf yang ceramahnya sering saya dengar di internet,"katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!